Category Archives: Media Massa

Madu Berpontensi Sebagai Ubat Kanser

Madu Boleh Dijadikan Terapi Atau Sebagai Ubat Kanser

KOTA BAHARU, 11 Jan (Bernama) – Madu lebah tualang yang banyak terdapat di kawasan hutan simpan negara ini berpotensi menjadi suplemen / ubat dalam terapi kanser terutama kanser payudara, kata Ketua Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Prof Madya Dr Nik Soriani Yaacob.

ubat kanser dari madu lebah

Kajian Madu Sebagai Ubat Kanser

Katanya kajian awal mendapati madu lebah dari pokok tualang yang tumbuh liar dalam hutan berpotensi menyekat penyuburan sel-sel kanser di samping membunuh sel-sel berbahaya itu daripada merebak.


“Namun begitu, penyelidikan ini masih di peringkat awal dan banyak kajian perlu dilakukan untuk memahami dengan lebih mendalam proses yang dirangsang oleh madu menyebabkan kematian sel-sel kanser tersebut,” katanya dalam kertas kerja bertajuk Aktiviti AntiKanser Madu Lebah Tualang pada satu seminar mengenai penggunaan madu lebah asli di sini Isnin.

Seramai 300 peserta hadir pada seminar dua hari itu bagi membincangkan antara lainnya mengenai khasiat madu lebah asli dalam bidang perubatan, cara mempopularkan penggunaan madu lebah dalam masyarakat dan menerokai pelbagai kegunaan madu lebah asli sebagai minuman dan makanan. ubat kanser

Program anjuran bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kubang Kerian itu di sini dirasmikan oleh Ketua Pengarah Fama, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz.

Menurut Dr Nik Soriani, kajian menjurus kepada kaedah mengenal pasti sama ada madu dapat membunuh sel-sel kanser atau membantu mengurangkan penggunaan dos dadah atau radiasi yang diperlukan bagi membunuh sel-sel kanser.

“Kajian itu bagi mengenal pasti sama ada madu boleh menghalang atau mengurangkan pembentukan kanser memandangkan kajian sebelum ini mendapati madu mengandungi pelbagai komponen yang mempunyai aktiviti antioksidan, anti-inflamatori dan anti-kanser,” katanya. ubat kanser

Madu Dari Lebah Tualang Merupakan Ubat Kanser Alternatif

Beliau berkata penyelidikan juga menemui madu lebah tualang mempunyai pelbagai aktiviti antikanser dan kesan sitotoksik yang berlaku ke atas beberapa jenis sel kanser yang dikultur (ditumbuh) dalam makmal.


“Sel kanser yang dirawat dengan madu ini (tualang) menjalani proses apoptosis (kematian sel kanser) yang biasanya tidak berlaku pada sel-sel itu, tambahan lagi madu lebah tualang dapat meningkatkan rangsangan kematian sel-sel kanser payudara oleh dadah tamoxifen,” katanya.

Dr Nik Soriani berkata kesimpulannya, kajian ke atas sel-sel kanser dan tikus makmal mendapati madu lebah tualang mempunyai aktiviti antikanser yang dikultur menyebabkan kematian sel kanser, mengesan sel kanser, menyekat pertumbuhan sel kanser dan peningkatkan jumlah sel imun yang membunuh sel kanser. ubat kanser

madu lebah sebagai ubat kanser

Dekan Penyelidikan Sains Klinikal USM, Prof Dr Nor Hayati Othman berkata pihaknya menerima sumbangan 1.3 metrik tan madu lebah percuma daripada Fama sejak kajian itu dijalankan bagi membolehkan kajian dibuat dengan berkesan terutama dalam penyakit kanser.

Beliau berkata sumbangan berperingkat-peringkat sejak 2006 itu mendapati madu lebah tualang dianggap paling asli berbanding dengan madu lebah lain atau yang diimport dan memberi potensi dalam amalan harian.

“Madu tidak asli menyebabkan kesan sampingan yang berpanjangan dan perlu dihindari,” kata Dr Nor Hayati.

Sumber Rujukan : http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=467474

USM Temui Keladi Tikus Ubat Kanser

Keladi Tikus Ubat Kanser

Sejenis tumbuh-tumbuhan dikenali sebagai ‘keladi tikus’ atau nama saintifik “Typhonium Flagelliforme” yang ditemui oleh seorang botanis hampir lima tahun lalu dipercayai boleh membantu pesakit kanser.

USM temui keladi tikus ubat kanser

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Christopher Teo Kheng Hoe berkata, ‘keladi tikus’ dijumpai secara kebetulan ketika seorang pesakit kanser meminta pertolongannya untuk membiakkan tumbuhan itu yang dipercayai boleh menyembuhkan penyakit. “Ketika itu saya terlibat dalam kajian membiakkan tumbuh-tumbuhan dan berjanji untuk membantu mereka membiakkan keladi tikus,” katanya ketika dihubungi di Pulau Pinang baru-baru ini.

Sesuai Untuk Pesakit Kanser @ Barah

Sejak itu, beliau mengesyorkan keladi tikus kepada kenalannya yang menghidapi penyakit barah dan sehingga kini ia berjaya menolong 800 orang pesakit tempatan dan luar negara termasuk dari New Zealand, Amerika Syarikat, India, Indonesia dan Australia.

Menurut Prof. Teo, Keladi Tikus berkesan untuk menolong pesakit kanser kerana selama ini pesakit yang mengambil tumbuh-tumbuhan ini menunjukkan kesan yang positif. ” Sebenarnya, tidak ada ubat di dunia yang ditemui boleh menyembuhkan penyakit kanser.

Apa yang ditemui ini hanya dapat membantu pesakit yang menghadapi pelbagai jenis kanser,” ujarnya. Bagaimanapun beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak masuk ke hutan mencari pokok keladi tikus ini untuk dimakan kecuali mereka benar-benar pasti ia benar-benar keladi tikus. “Apa yang saya khuatir mereka mengambil pokok keladi yang salah berdasarkan sesetengah buku rujukan memberi nama yang salah dan jika diambil boleh membawa maut,” katanya.

Prof. Teo memberitahu, keladi tikus semakin pupus tetapi boleh ditemui di kawasan paya dan terbiar serta didapati dijual di sesetengah pasar. Katanya, lebih empat tahun lalu beliau telah menemui satu cara mencampur keladi tikus dengan tumbuh-tumbuhan lain lalu memproses menjadikan kapsul untuk dimakan enam kapsul sehari. “Selain dari mengambil kapsul pesakit kanser, mereka juga boleh menggunakan cara yang lebih baik dengan memakan daun, atau akar umbi keladi tikus itu.

 Cara Pengambilan Keladi Tikus Ubat Kanser

Bagaimanapun, masalah tumbuhan ini ialah cepat layu dan rosak, jadi yang telah diproses itu tahan lebih lama,” tambah beliau. Prof. Teo berkata, pesakit yang tidak mengambil kapsul hanya perlu mencuci dan merendam 50 gram atau empat atau lima pohon keladi tikus di dalam air selama setengah jam. Selepas itu, katanya, pesakit harus memerah jus keladi tikus dan mencampurkannya dengan madu untuk mengelakkan rasa gatal.

Pesakit hanya perlu minum jus segar keladi tikus itu sekali sehari tetapi bagi mereka yang mengalami barah yang serius perlu mengamalnya tiga kali sehari,” jelas beliau. Selain itu, menurut Prof. Teo, pesakit kanser juga harus mengubah cara hidup, pemakanan dan perlu menukar metabolisme badan serta mengamalkan penyembuhan kendiri (self healing).

Maklumat lanjut berkaitan Pokok Keladi Tikus : Klik sini. 

Sumber Rujukan :

Akhbar Utusan Malaysia Ogos 1998 @ Oleh NORZAHIZAN ISMAIL

Kanser Payudara Terus Catat Angka Tertinggi

Semakin Ramai Diserang Penyakit Kanser Payudara

SABAN hari semakin ramai manusia yang diserang penyakit seperti kanser payudara. Ironiknya, walaupun ramai mengetahui mengenai bahaya kanser, namun tidak ramai yang mengambil berat tentangnya.

Menurut Ketua Eksekutif Yayasan Penyelidikan Inisiatif Kanser (CARIF), Prof. Dr. Teo Soo Hwang, penyakit kanser merupakan penyakit yang boleh dirawat jika dikesan pada peringkat awal.

Kanser Payudara

SERAMAI 10 orang penyelidik CARIF giat menjalankan eksperimen mencari rawatan terbaik untuk kanser payudara.

“Kanser boleh berlaku disebabkan oleh penyakit genetik dan gaya hidup individu. Kanser boleh dikesan pada peringkat awal menerusi pemeriksaan kesihatan secara terperinci.

“Namun, mereka yang mempunyai sejarah keluarga penghidap kanser disarankan membuat pemeriksaan kesihatan berterusan,” jelasnya.

Statistik Kanser

Menurut statistik kanser oleh Kementerian Kesihatan, sebanyak 18,219 kes baharu dilaporkan pada tahun 2007. Seramai 8,123 daripadanya ialah penghidap lelaki dan selebihnya wanita. Namun, etnik yang mencatatkan kes kanser baharu tertinggi ialah Cina, iaitu 3,650 kes, diikuti Melayu (3,093 kes) dan India (462 kes).

Bagaimanapun, daripada 12 jenis kanser yang dilaporkan, kanser payudara berada pada kedudukan teratas.

“Berdasarkan statistik tersebut, kanser payudara mencatatkan kes sebanyak 3, 292, iaitu 18 peratus berbanding kanser kolorektum 2,246 serta kanser trakea, bronkus dan paru-paru mencatatkan sebanyak 1,865.

“Daripada jumlah kanser payudara tersebut, 3,242 terdiri daripada penghidap wanita. Tetapi secara terperinci mengikut etnik, wanita Melayu menjadi penyumbang utama dengan 1,432 kes, diikuti Cina 1,343 dan India 297,” jelasnya.

Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2013, lebih 508,000 wanita meninggal dunia pada tahun 2011 akibat kanser payudara dan jumlah itu dipercayai akan terus meningkat.

“Bimbang dengan angka yang semakin besar, sejak ditubuhkan pada tahun 2000, CARIF menjadi antara penggerak paling aktif dalam berusaha memujuk rakyat Malaysia melakukan pemeriksaan awal dan meningkat kesedaran mengenai bahaya kanser.

“Baru-baru ini antara program yang dijalankan oleh CARIF termasuklah Be Frank: Kempen Bantu Perangi Kanser dan Be Frank: Program Pendandan rambut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai jumlah survival kanser paling rendah berbanding Korea dan Singapura.

Sumber Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0404&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm#ixzz2yHIRkleW

Lelaki Juga Berpotensi Untuk Menghidap Kanser Payudara

LELAKI kena kanser payudara?

Soalan seperti ini tidak mustahil akan terpacul kala dikaitkan dengan kalangan lelaki, lantaran ia sangat jarang didengari berbanding lazimnya berlaku di kalangan wanita. Ini mungkin disebabkan perbezaan fizikal di antara golongan Adam dan Hawa ini sangat ketara terutama pada saiz payudara. Pun begitu, jangan pandang remeh kerana walaupun nisbah peratusannya agak kecil iaitu kira-kira 1:100, namun tidak mustahil boleh menyerang golongan lelaki. Malah, peratusan ini kini semakin meningkat di Amerika Syarikat.

Kanser Payudara Lelaki

Pandangan Pakar Berkaitan Kanser Payudara Lelaki

Menurut Pakar Bedah Gastroentestinal & Laparoskopi Hospital Pakar DEMC Shah Alam, Dr. Lukman Mohd Rashid, kebanyakan kes kanser payudara lelaki menyerang pesakit sekitar usia lebih lanjut sekitar 50-60 tahun.

“Dari segi perbezaan, sebenarnya tidak banyak perbezaan ketara kerana dari segi simptomnya adalah sama. Berdasarkan kes yang ditemui, peratusannya juga sangat kecil iaitu kira-kira 1:100. Ini kerana lelaki mempunyai hormon testeron berbanding estrogen pada wanita. Walau bagaimanapun, ia tidak mustahil untuk lelaki juga berisiko terutama apabila terdapat simptom berkaitan kanser payudara ini.

“Berbanding wanita juga, lelaki lebih mudah rasa simptom yang terdapat pada badan mereka kerana perbezaan saiz payudara. Jika ada di antara ahli keluarga yang pernah menghidapi kanser, risikonya adalah lebih besar untuk lelaki mendapat penyakit ini. Kebanyakan lelaki pada masa kini yang membuat suntikan hormon juga berpotensi untuk terkena kanser payu dara,” jelasnya.

Faktor-faktor risiko kanser payudara lelaki

Antara faktor-faktor yang meningkatkan faktor kanser payudara lelaki termasuk:

•         Umur lanjut iaitu lelaki dalam lingkunan umur 60-70 tahun.

•     Terkena sinaran radiasi. Jika anda telah menerima rawatan radiasi terutama pada bahagian dada seperti yang digunakan untuk merawat kanser di bahagian dadah, anda lebih cenderung untuk menghidap kanser payudara di kemudian hari.

•         Pendedahan kepada estrogen misalnya menerusi pengambilan ubat-ubatan yang berkaitan dengan estrogen seperti yang digunakan sebagai sebahagian daripada prosedur seks perubatan. (Dadah estrogen juga boleh digunakan dalam terapi hormon untuk kanser prostat).

•         Sejarah dalam keluarga di mana mungkin salah seorang ahli keluarga pernah menghidap kanser.

•         Sindrom genetik atau juga dikenali Kline felter yang berlaku apabila lelaki dilahirkan dengan lebih daripada satu salinan kromosom X. Sindrom ini menyebabkan perkembangan tidak normal buah zakar. Hasilnya, lelaki dengan sindrom ini menghasilkan tahap hormon lelaki (androgen).

•         Jika anda mempunyai penyakit hati seperti sirosis hati, hormon lelaki anda boleh dikurangkan sementara hormon wanita pula akan menjadi lebih.

•         Obes mungkin menjadi salah satu faktor risiko di kalangan lelaki kerana ia meningkat bilangan sel-sel lemak dalam badan. Sel-sel lemak akan menukarkan androgen kepada estrogen yang boleh menyebabkan peningkatan jumlah estrogen dalam badan.

Apakah simptom kanser payudara lelaki?

Memandangkan ia penyakit yang bukan lazim di kalangan lelaki, adalah dinasihatkan kepada mereka yang mempunyai simptom-simptom berikut segera berjumpa pakar untuk mengetahui lebih lanjut lagi berkaitan.

“Memandangkan lelaki mempunyai buah dada yang lebih kecil daripada wanita, oleh itu ia lebih mudah untuk membuat pemeriksaan sendiri di rumah. Sekiranya terdapat simptom-simptom seperti ketulan di bawah puting atau kelenjar (benjolan di bawah ketiak), lekuk-lekuk pada bahagian payudara, puting berdarah, segeralah berjumpa dengan pakar,” ujarnya lagi

Berikut adalah ciri-ciri kanser yang boleh anda kesan sendiri atau telitikan:-

Payudara

Payudara anda akan mengalami perubahan saiz dan rupa. Sekiranya anda dapat melihat seperti lekuk pada bahagian payudara selain mungkin melibatkan penemuan ketulan atau berlakunya penebalan kulit payudara.

Puting berdarah

Puting berdarah. Walaupun ada kalanya terdapat cecair keluar dari puting, ia adalah perkara biasa. Namun, keadaan ini boleh jadi membimbangkan sekiranya puting berdarah.

Puting tertarik ke dalam

Ia mungkin satu keadaan normal dan semula jadi pada sesetengah wanita. Walau bagaimanapun sekiranya keadaan ini baru berlaku dan terjadi tanpa sebab, anda harus berjumpa dengan doktor. Ketulan atau penebalan kulit dan diikuti dengan kehadiran cecair keluar daripada puting juga harus dipandang serius. Segeralah berjumpa doktor.

Ruam

Ruam di bahagian puting dan persekitaran kulitnya juga boleh menjadi simptom serangan kanser payudara. Penyakit Paget ada kaitan dengan serangan kanser payudara. Ruam di puting atau kawasan persekitaran puting boleh terjadi akibat daripada ekzema.

Lengan

Terdapat ketulan atau bengkak pada sekitar ketiak.

Rawatan Kanser Payudara Lelaki

Sekiranya anda telah disahkan menghidap kanser payudara, segeralah menjalani rawatan kerana harapan masih ada untuk anda menyelamatkan nyawa. Antaranya adalah melalui pembedahan dan seterusnya rawatan lanjut seperti kimoterapi dan radioterapi.

“Walau bagaimanapun, apa yang penting adalah menjalani gaya hidup sihat. Jangan mengambil estrogen, minum arak, merokok dan sebagainya yang berbahaya kepada kesihatan kerana ia mungkin salah satu penyumbang untuk anda berisiko menghidap kanser payudara,” nasihat Dr. Luqman.

Sumber Rujukan :

http://www.sinarharian.com.my/famili/kanser-payudara-lelaki-juga-berpotensi-1.99123

Budak Perempuan 6 Tahun Hidap Kanser Payudara

Kanak-Kanak Berumur 6 Tahun Penghidap Kanser Payudara

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dari Pantai Cahaya Bulan (PCB) dikesan mengidap kanser payudara.

Ketua Jabatan dan Perunding Pembedahan Payudara dan Endoktrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, penemuan tersebut dianggap bukan sahaja paling muda di negara ini, malahan berdasarkan kajian, termuda di dunia.

Dr Imi Sairi (kanan) merawat seorang pesakit payudara di HRPZII, hari ini.

Dr Imi Sairi (kanan) merawat seorang pesakit payudara di HRPZII, hari ini.

Katanya, setakat ini pesakit kanser payudara termuda adalah kanak-kanak berusia 10 tahun dari Amerika Syarikat.

“Pada Oktober tahun lalu, saya anggap ini adalah penemuan dalam sejarah perubatan apabila seorang kanak-kanak berusia enam tahun mengalami masalah payu daranya mempunyai biji sebesar dua sentimeter (cm).

“Setelah menjalankan pembedahan dan biji tersebut dihantar untuk kajian, hasilnya mengesahkan dia mengalami kanser payu dara dan sehingga kini masih menerima rawatan di hospital ini secara temu janji,” katanya semasa ditemui di HRPZ II, di sini, hari ini.

Kanser Payudara Mungkin Disebakan Faktor Genetik

Dr Imi Sairi berkata, kanak-kanak tersebut kini berusia tujuh tahun dan kemungkinan kanser itu berlaku disebabkan faktor genetik, namun ibu bapa kanak-kanak tersebut tiada hubung kait mengenai penyakit berkenaan.

Bagaimanapun, kanser yang dialami kanak-kanak berkenaan berada pada peringkat awal mungkin tahap pertama atau kedua.

“Kanser payudara adalah pembunuh nombor satu bagi wanita di Malaysia, namun di Kelantan, berdasarkan jantina lelaki dan perempuan, kanser payudara menjadi penyebab kedua kematian selepas kanser usus.

“Masalah kanser payudara dikawal melalui saringan awal bagi wanita yang cukup usia 40 tahun untuk menjalankan mamogram,” katanya.

Kata beliau, berdasarkan rekod HRPZ II, terdapat 2,262 pesakit secara keseluruhan mengalami kanser dan paling ramai adalah payudara 593 pesakit, diikuti kanser usus 262 dan ovari 183 pesakit, termasuk kanser tiroid, serviks dan leukemia.

Beliau mengakui hampir 50 peratus pesakit kanser di negeri ini datang mendapatkan rawatan di hospital setelah penyakit tersebut kronik di peringkat tahap ketiga dan keempat.

Katanya, kanser payudara juga turut dihidapi pesakit lelaki, namun kaum tersebut lebih menderita akibat penyakit kanser usus dan prostat.

Rekod Penghidap Kanser Payudara Termuda

Untuk rekod, Hannah Powell-Auslam, 10, dari Southern California, Amerika Syarikat mengejutkan dunia apabila menjadi gadis paling muda di dunia yang diserang kanser payudara.

Keputusan doktor itu diterima April 2009 dan ia telah menjalani pembedahan kanser yang jarang berlaku yang disebut invasive secretory carcinoma. Menurut catatan perubatan kanser ini diketahui pertama kali menyerang kanak-kanak pada 1960, tetapi hingga sekarang tiada maklumat terperinci mengenai kes berkenaan.

Sumber Rujukan :

http://www.sinarharian.com.my/semasa/budak-perempuan-6-tahun-hidap-kanser-payudara-1.247983