Tag Archives: kosmo

Kanser Payudara Terus Catat Angka Tertinggi

Semakin Ramai Diserang Penyakit Kanser Payudara

SABAN hari semakin ramai manusia yang diserang penyakit seperti kanser payudara. Ironiknya, walaupun ramai mengetahui mengenai bahaya kanser, namun tidak ramai yang mengambil berat tentangnya.

Menurut Ketua Eksekutif Yayasan Penyelidikan Inisiatif Kanser (CARIF), Prof. Dr. Teo Soo Hwang, penyakit kanser merupakan penyakit yang boleh dirawat jika dikesan pada peringkat awal.

Kanser Payudara

SERAMAI 10 orang penyelidik CARIF giat menjalankan eksperimen mencari rawatan terbaik untuk kanser payudara.

“Kanser boleh berlaku disebabkan oleh penyakit genetik dan gaya hidup individu. Kanser boleh dikesan pada peringkat awal menerusi pemeriksaan kesihatan secara terperinci.

“Namun, mereka yang mempunyai sejarah keluarga penghidap kanser disarankan membuat pemeriksaan kesihatan berterusan,” jelasnya.

Statistik Kanser

Menurut statistik kanser oleh Kementerian Kesihatan, sebanyak 18,219 kes baharu dilaporkan pada tahun 2007. Seramai 8,123 daripadanya ialah penghidap lelaki dan selebihnya wanita. Namun, etnik yang mencatatkan kes kanser baharu tertinggi ialah Cina, iaitu 3,650 kes, diikuti Melayu (3,093 kes) dan India (462 kes).

Bagaimanapun, daripada 12 jenis kanser yang dilaporkan, kanser payudara berada pada kedudukan teratas.

“Berdasarkan statistik tersebut, kanser payudara mencatatkan kes sebanyak 3, 292, iaitu 18 peratus berbanding kanser kolorektum 2,246 serta kanser trakea, bronkus dan paru-paru mencatatkan sebanyak 1,865.

“Daripada jumlah kanser payudara tersebut, 3,242 terdiri daripada penghidap wanita. Tetapi secara terperinci mengikut etnik, wanita Melayu menjadi penyumbang utama dengan 1,432 kes, diikuti Cina 1,343 dan India 297,” jelasnya.

Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2013, lebih 508,000 wanita meninggal dunia pada tahun 2011 akibat kanser payudara dan jumlah itu dipercayai akan terus meningkat.

“Bimbang dengan angka yang semakin besar, sejak ditubuhkan pada tahun 2000, CARIF menjadi antara penggerak paling aktif dalam berusaha memujuk rakyat Malaysia melakukan pemeriksaan awal dan meningkat kesedaran mengenai bahaya kanser.

“Baru-baru ini antara program yang dijalankan oleh CARIF termasuklah Be Frank: Kempen Bantu Perangi Kanser dan Be Frank: Program Pendandan rambut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai jumlah survival kanser paling rendah berbanding Korea dan Singapura.

Sumber Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0404&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm#ixzz2yHIRkleW

Kerap Hamil Kurangkan Risiko Kanser Ovari

Risiko Kanser Ovari

Kanser Ovari

Kepada kaum Hawa, seandainya perut anda tiba-tiba terasa kembung atau menjadi buncit tanpa sebab, berhati-hatilah dan segera bertemu doktor. Ini kerana itu adalah antara petanda anda mungkin menghidap kanser ovari.

Sel kanser yang membiak di dalam ovari atau kantung telur wanita boleh menyebabkan perut menjadi besar seperti wanita sarat mengandung dalam tempoh tidak sampai satu bulan dan merebak ke organ lain badan seperti usus, paru-paru dan buah pinggang tanpa disedari pesakit.

Pakar Gynaeoncology dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan, Dr. Nor Anita Abdullah berkata, berbeza dengan kanser payudara yang boleh dikesan awal, kanser ovari belum ada kaedah saringan berkesan dan ekonomikal.

Beliau berkata, sel kanser ovari berkembang secara agresif dan pantas. Keadaan itu menyebabkan wanita bukan sahaja boleh kehilangan kedua-dua kilang telur bahkan rahim dan pangkal rahim selalunya terpaksa dibuang menerusi pembedahan.

Jelasnya, kanser ovari tahap pertama dikelaskan sebagai sel kanser masih kekal berada dalam kantung telur namun ia tetap mampu mengembangkan saiz kilang telur yang asalnya bersaiz 2 atau 3 sentimeter sehingga menjadi tumor yang boleh mencapai berat melebihi 20 kilogram (kg).

Katanya, apabila kanser sudah merebak sehingga peringkat tiga atau empat, peratusan pesakit yang boleh hidup sehingga tempoh lima tahun adalah kurang 30 peratus, malah kebanyakan mereka terpaksa menjalani hidup yang tidak berkualiti kerana komplikasi lain seperti sakit belakang yang berpanjangan, mengalami masalah paru-paru dan terpaksa memakai beg najis kesan tumor yang menekan usus.

“Protokol kita adalah untuk membuang semua sel kanser yang kita nampak semasa pembedahan, jika ia dapat dikesan pada bahagian lain maka kita akan buang semua termasuklah juga sebahagian usus dan kelenjar limpa.

“Namun bagi pesakit kanser tahap satu berumur bawah 40 tahun ataupun yang belum berkahwin kami akan cuba selamatkan ovari dan hanya membuang tumor pada bahagian terjejas sahaja serta menasihatkan pesakit menjalani kemoterapi kerana pada usia yang muda dia boleh sembuh malah kemoterapi tidak akan menjejaskan kilang telur yang masih ada sekali gus memberi peluang pesakit hamil,” katanya.

Pil Perancang Kanser Ovari

Penghidap Kanser Ovari – Disangkakan Masalah Kegemukan

Nor Anita berkata, biarpun secara umumnya majoriti pesakit kanser ovari di negara membabitkan wanita berumur 50 hingga 54 tahun namun golongan kanak-kanak dan remaja juga tidak terkecuali.

Jelasnya, beliau sendiri di HRPZ II pernah merawat seorang pesakit berusia semuda 9 tahun dan seorang remaja berusia 19 tahun yang pada peringkat awal hanya disangka mempunyai masalah kegemukan.

“Pesakit remaja ini datang dengan perut buncit seperti orang mengandung dan oleh kerana fizikalnya yang obes pihak keluarga tidak menjangka yang buruk malah membelikannya pil pelangsing.

“Remaja ini disahkan menghidap kanser ovari tahap satu dan dalam masa dua minggu selepas dia dirujuk ke hospital pihak kami telah menjalankan pembedahan dan berjaya membuang tumor seberat 15kg,” katanya.

Nor Anita memberitahu, wanita yang mempunyai keluarga yang pernah menghidap penyakit kanser payudara dan kanser ovari mempunyai risiko tinggi mengidap penyakit ini dan seharusnya membuat pemeriksaan dengan doktor setahun sekali.

Katanya, wanita yang tidak pernah mengandung ataupun mempunyai bilangan anak yang sedikit juga berisiko kerana berbeza dengan wanita yang mempunyai anak, proses ovulasi kilang telur mereka tidak pernah ‘berehat’ dan terus berulang sehingga memungkinkan perubahan ganjil pada perkembangan sel dalam ovari.

Beliau berkata, lebih 50 peratus daripada kes kanser ovari yang dirujuk ke HRPZ II pada tahun lalu terdiri daripada pesakit yang tidak berkahwin, tidak pernah hamil dan beranak kurang dari dua orang.

“Wanita yang ramai anak setiap kali dia mengandung ovarinya tidak ‘bergerak’, dia dapat rehat panjang dan begitu juga dalam tempoh menyusukan anak. Malah wanita yang melahirkan anak kali pertama mengurangkan 45 peratus risiko menghidap kanser ovari,” katanya.

Kanser Rahim

Ikat Peranakan Boleh Mengurangkan Risiko Menghidap Kanser Ovari

Beliau berkata, wanita yang mengikat saluran peranakan juga boleh mengurangkan risiko daripada menghidap kanser ovari dan ini termasuklah juga bagi wanita yang mengambil pil perancang keluarga.

Bagaimanapun, Nor Anita berkata, teori pencegahan kanser ovari menggunakan pil perancang keluarga tidak disenangi oleh pakar perubatan yang merawat kanser payudara kerana pengambilan pil itu meningkatkan risiko kanser nombor satu wanita.

Beliau berkata, antara langkah pencegahan lain yang boleh dilakukan adalah menjauhi tabiat merokok serta menjaga pemakanan seperti mengelak pengambilan daging dan lemak yang tinggi.

Obesiti adalah faktor kepada pelbagai jenis kanser termasuklah kanser ovari, malah ia dalam masa sama ‘menyembunyikan’ keadaan sebenar abdomen pesakit yang kembung akibat tumor kanser, katanya.

Sumber Rujukan:

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm