Tag Archives: kolorektum

Kanser Payudara Terus Catat Angka Tertinggi

Semakin Ramai Diserang Penyakit Kanser Payudara

SABAN hari semakin ramai manusia yang diserang penyakit seperti kanser payudara. Ironiknya, walaupun ramai mengetahui mengenai bahaya kanser, namun tidak ramai yang mengambil berat tentangnya.

Menurut Ketua Eksekutif Yayasan Penyelidikan Inisiatif Kanser (CARIF), Prof. Dr. Teo Soo Hwang, penyakit kanser merupakan penyakit yang boleh dirawat jika dikesan pada peringkat awal.

Kanser Payudara

SERAMAI 10 orang penyelidik CARIF giat menjalankan eksperimen mencari rawatan terbaik untuk kanser payudara.

“Kanser boleh berlaku disebabkan oleh penyakit genetik dan gaya hidup individu. Kanser boleh dikesan pada peringkat awal menerusi pemeriksaan kesihatan secara terperinci.

“Namun, mereka yang mempunyai sejarah keluarga penghidap kanser disarankan membuat pemeriksaan kesihatan berterusan,” jelasnya.

Statistik Kanser

Menurut statistik kanser oleh Kementerian Kesihatan, sebanyak 18,219 kes baharu dilaporkan pada tahun 2007. Seramai 8,123 daripadanya ialah penghidap lelaki dan selebihnya wanita. Namun, etnik yang mencatatkan kes kanser baharu tertinggi ialah Cina, iaitu 3,650 kes, diikuti Melayu (3,093 kes) dan India (462 kes).

Bagaimanapun, daripada 12 jenis kanser yang dilaporkan, kanser payudara berada pada kedudukan teratas.

“Berdasarkan statistik tersebut, kanser payudara mencatatkan kes sebanyak 3, 292, iaitu 18 peratus berbanding kanser kolorektum 2,246 serta kanser trakea, bronkus dan paru-paru mencatatkan sebanyak 1,865.

“Daripada jumlah kanser payudara tersebut, 3,242 terdiri daripada penghidap wanita. Tetapi secara terperinci mengikut etnik, wanita Melayu menjadi penyumbang utama dengan 1,432 kes, diikuti Cina 1,343 dan India 297,” jelasnya.

Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2013, lebih 508,000 wanita meninggal dunia pada tahun 2011 akibat kanser payudara dan jumlah itu dipercayai akan terus meningkat.

“Bimbang dengan angka yang semakin besar, sejak ditubuhkan pada tahun 2000, CARIF menjadi antara penggerak paling aktif dalam berusaha memujuk rakyat Malaysia melakukan pemeriksaan awal dan meningkat kesedaran mengenai bahaya kanser.

“Baru-baru ini antara program yang dijalankan oleh CARIF termasuklah Be Frank: Kempen Bantu Perangi Kanser dan Be Frank: Program Pendandan rambut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai jumlah survival kanser paling rendah berbanding Korea dan Singapura.

Sumber Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0404&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm#ixzz2yHIRkleW