Category Archives: Jenis Kanser

Kanser Pankreas

Teknologi Endoscopic Ultrasound Kesan Barah / Kanser Pankreas Awal

PENGASAS Apple, Steve Jobs; aktor Patrick Swayze dan Michael Landon termasuk penyanyi tenor, Luciano Pavarotti adalah antara selebriti dan golongan ternama yang menderita dan tewas akibat barah pankreas. Dikenali sebagai pembunuh senyap, kanser pankreas bukanlah penyakit yang lazim berlaku berbanding barah jenis lain.

Barah Pankreas

Masalah terbesar barah pankreas adalah ia hanya dikesan pada peringkat serius. Ketika pembedahan dilakukan, ia sudah tidak berguna lagi. Akibatnya, pakar perubatan tidak dapat mengeluarkan kanser dari tubuh pesakit. Sehubungan itu, isu utama dalam kebanyakan rawatan barah pankreas ialah untuk mengesan barah berkenaan seawal mungkin.

Perunding Gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Datuk Dr Ryan Ponnudurai berkata, apabila pesakit mengadu sakit pada bahagian abdomen, ia harus disiasat segera.

Ujian Imbasan CT Untuk Mengesan Kanser Pankreas

Tumor Barah Pankreas

 “Merujuk kes terbaru saya November lalu, seorang pesakit rakyat Belanda menjalani ujian imbasan CT pada abdomen iaitu antara kaedah terbaik untuk menyiasat dan mengesan kanser pankreas.

“Tetapi teknik ini kurang berkesan untuk mengesan barah di peringkat awal, lebih-lebih lagi ketika tumor masih kecil. Hanya selepas tumor membesar lebih dari dua sentimeter, imbasan CT mampu mengesannya. Sayangnya, ketika itu sudah terlambat untuk pembedahan,” katanya ketika ditemui kolum sihat di PCMC di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Ryan berkata, pesakit bagaimanapun sangat bernasib baik apabila tumor yang ada pada pankreas dikesan melalui prosedur dikenali sebagai endoscopic ultrasound. Menurutnya, prosedur ini membabitkan rawatan skop seperti biasa di mana pesakit tidak perlu bermalam.

Melalui kaedah ini, pesakit diletakkan dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika skop dilakukan. Pada masa sama, sampel tisu diambil untuk tujuan biopsy. Pesakit dibenarkan pulang sebaik prosedur berakhir.

“Prosedur ini memberikan saya banyak maklumat. Ia dapat mengesan sebarang tumor mahupun ketumbuhan yang tidak dapat dikesan imbasan CT kerana ia terlalu kecil. Saya juga dapat mengkelaskan barah mengikut peringkatnya dan terus mendapatkan sampel tisu.

 “Tisu sangat penting dan saya sering menggelarkan keadaan ini sebagai tisu adalah isu. Ini kerana kita perlukan sampel daging (tisu) untuk merawat,” kata Dr Ryan lagi.

Beliau berkata, dalam kes pesakitnya, prosedur Whipple yang biasa dilakukan bagi kes kanser di kepala pankreas dikendalikan. Melalui prosedur ini, seluruh organ dikeluarkan bersama sebahagian perut, duodenum, nodus limfa dan beberapa tisu lain.

Hasilnya, semua tumor berjaya dikeluarkan dan kanser dikawal dari merebak. Prosedur ini kompleks dan berisiko kerana berdepan risiko komplikasi kebocoran, jangkitan, pendarahan dan masalah dalam perut.

Biarpun Dr Ryan mengajar pakar di Malaysia mengenai penggunaan teknologi endoscopic ultrasound, prosedur ini tidak banyak disediakan di pusat perubatan.

“Pengendalian cukup mudah dan tidak memerlukan sebarang pembedahan. Pesakit tidak perlu menginap di hospital lalu mengurangkan kos. Doktor juga boleh terus melihat tumor, mengelaskannya dan menilai sama ada boleh dibedah atau tidak. Kita juga boleh tahu apakah ia membabitkan pelbagai saluran darah,” katanya.

Dr Ryan berkata, isu barah gagal dikeluarkan kerana pembedahan dilakukan lewat juga dapat dielak melalui penggunaan teknik endoscopic ultrasound.

“Isu seumpama itu dapat dielak. Jika tidak pesakit tambah derita kerana perlu sebulan untuk pulih dari pembedahan yang tidak berjaya. Padahal, kebanyakan mereka cuma ada enam bulan saja untuk hidup,” katanya.

Jelas Dr Ryan, teknologi endoscopic ultrasound diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak ramai yang mahir mengendalikannya. Malah, ada yang tidak tahu kewujudan teknik ini. Prosedur ini mampu mengkelaskan pelbagai jenis barah termasuk barah paru-paru, barah perut dan kanser pankreas.

Pesakit Barah Pankreas

Annellies bersyukur suaminya semakin sihat

Gejala Klasik KanserPankreas

Sehubungan itu, sikap berjaga-jaga dan bimbang melihat orang tersayang hilang berat badan mendadak atau sakit di perut dan abdomen perlu ada. Bawalah mereka berjumpa pakar perubatan untuk dikaji. Ini kerana antara gejala klasik kanser pankreas adalah sakit belakang, hilang berat badan dan mendapat penyakit kuning. Lazimnya, apabila rasa sakit-sakit sudah melarat ke belakang, ia sudah melarat ke saraf pesakit.

“Saya fikir di mana-manapun di seluruh dunia, kita tidak tahu apakah kaedah yang lebih kos efektif untuk mengesan barah pankreas secara awal.

“Ini kerana barah pankreas tidak biasa berlaku. Tidak seperti barah kolon, di peringkat antarabangsa, kami tidak menyarankan saringan barah pankreas dijalankan ke atas semua orang.

“Sehubungan itu, nasihat saya, mereka yang mengalami tanda-tanda amaran seperti sakit belakang, hilang berat badan mendadak, hilang selera makan atau menghidap sakit kuning serta mempunyai ahli keluarga yang mengalami barah pankreas, lakukanlah pemeriksaan awal,” katanya.

‘Usah lengah jumpa pakar’

BARAH pankreas lazimnya hanya dikesan di peringkat parah. Namun, bagi Frederik Riem Vis, 59, dan isterinya, Annellies Riem Vis, warga Belanda yang sedang mengikuti program Malaysia Rumah Keduaku sejak April lalu, keupayaan mengesan kanser pankreas di peringkat awal disifatkan pengalaman ‘berpantang maut sebelum ajal’.

Awal Ogos lalu, Frederik berjumpa doktor selepas merasa kurang selesa, sakit-sakit, hilang berat badan mendadak serta lesu sepanjang hari. Kemudian pakar perubatan mengarahkan prosedur endoskopi tradisional dan imbasan CT untuk mengesan masalah sebenar. Namun, kedua-dua keputusan berkenaan tidak menunjukkan sebarang keputusan.

“Saya hanya dinasihat untuk mengambil ubat seperti biasa. Bagaimanapun, rasa sakit makin menjadi-jadi dan kerap dirasakan di sekitar perut dan abdomen.

“Akhirnya, pada 4 Oktober lalu, saya dikejarkan ke PCMC dengan bantuan ambulans dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas disahkan mengalami demam denggi.

“Ketika berada di ICU, saya beritahu doktor mengenai rasa kurang selesa dan kesakitan berterusan di bahagian perut. Saya terus dibawa bertemu Dr Ryan. Beliau mencadangkan saya menjalani endoskopik ultrasound, antara teknik terkini mengesan pesakit dengan masalah perut dan biopsy selain imbasan CT,” katanya ketika ditemui kolum Sihat.

Frederik berkata, imbasan CT tidak menunjukkan sebarang keputusan, sebaliknya analisis endoskopik ultrasound mengejutkan dengan penemuan tumor yang masih di peringkat awal pada pankreas.

“Keputusan biopsy dan pandangan kedua pakar lain mengenai keputusan biopsy juga mengesahkan wujudnya barah pada pankreas yang memerlukan pembedahan segera,” jelas Frederik yang kehilangan ibu dan bapa akibat barah payu dara dan ketumbuhan pada otak.

Berikutan dikesan awal, keadaan organ Frederik masih baik dan sesuai untuk prosedur berkenaan. Kebanyakan pesakit barah pankreas di Malaysia, hanya berjaya dikesan pada peringkat serius dan pembedahan pada peringkat ini sudah tidak berguna lagi.

“Kami dalam dilema sama ada untuk menjalani prosedur pembedahan khusus yang dikenali sebagai Prosedur Wipply di Malaysia atau pulang ke Belanda.

“Jika di negara sendiri, kami dikelilingi saudara mara selain diberi sokongan moral sahabat handai. Namun, keyakinan dan kekaguman yang tinggi terhadap kepakaran dan kecekapan pakar di Malaysia mendorong kami untuk melakukan prosedur itu di sini,” katanya.

Frederik berkata, pada 19 November lalu, iaitu seminggu selepas disahkan menghidap kanser pankreas, pembedahan dijalankan tanpa perlu menunggu.

“Bagi kami orang Belanda, tidak perlu menunggu giliran adalah sesuatu yang jarang berlaku di kebanyakan hospital di sana. Prosedur berjalan selama enam jam itu lancar.

“Kami amat bersyukur kerana akibat berjaya mengesan awal, pankreas, saluran penghadaman dan sebahagian besar otot dapat diselamatkan. Ia cukup membantu proses penyembuhan saya. Hanya tuhan yang tahu betapa bertuahnya saya,” katanya.

Bagi Frederik yang mempunyai sejarah ahli keluarga penghidap kanser, beliau cukup sensitif dengan setiap perubahan luar biasa pada tubuh.

“Sejarah keluarga inilah yang membuatkan saya lebih berhati-hati dan cepat bertindak apabila tubuh memberi isyarat yang berlainan. Ini kerana kita sudah berumur tentu kita kenal badan kita.

“Nasihat saya, jika saban hari ada sesuatu yang sentiasa membuat tubuh merasa kurang selesa, jangan berlengah. Dapatkan bantuan pakar perubatan dengan segera.

“Anda pasti tidak akan menyesal kemudian hari,” katanya yang ditempatkan di ICU selama lapan hari sebelum dibenarkan pulang sebelum meneruskan rawatan kemoterapi dan radioterapi pula.

Info Berkaitan Kanser Pankreas

 Gejala barah pankreas hanya muncul apabila tumor semakin membesar antaranya:

  • Sakit di bahagian atas abdomen akibat tumor menekan saraf
  • Kulit dan mata menjadi kuning dan serta air kencing menjadi gelap dipanggil jaundice
  • Hilang selera makan, mual dan muntah.
  • Berat badan turun mendadak dan sering lesu.
  • Najis berwarna pucat dan kelabu serta ada lebihan lemak dalam najis.

Sumber Rujukan : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kenalikanserpankreas/Article/index

Rokok Penyebab Kanser Peti Suara

Kanser Peti Suara

SUARA merupakan satu bentuk komunikasi yang amat penting bagi manusia namun, nikmat ini kurang diberi perhatian melainkan setelah seseorang kehilangannya.

Hilang suara boleh disebabkan oleh faktor sementara seperti jangkitan saluran pernafasan atas, bengkak peti suara akibat penggunaannya yang keterlaluan mahupun radang saraf larinks.

Rokok Penyebab Kanser

Kebiasaannya hilang suara dalam kes-kes sebegini akan pulih sepenuhnya dalam masa beberapa hari atau minggu tetapi kanser peti suara boleh menjadi punca seseorang hilang suara untuk sementara atau selama-lamanya.

Menurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak Universiti Sains Malaysia, Dr. Irfan Mohamad, peti suara adalah bahagian terpenting yang mengatur penghasilan bunyi atau suara.

“Kontribusi udara dari dalam paru-paru sewaktu menghembus nafas akan menggetarkan peti suara lalu menghasilkan bunyi.

“Ia seterusnya akan melalui rongga mulut dan hidung yang dikenali sebagai artikulator untuk memodulasi bunyi yang dihasilkan kepada bahasa yang difahami.

“Struktur peti suara terletak pada organ salur pernafasan yang dinamakan sebagai larinks. Larinks ialah bahagian tekak yang menyambungkan rongga mulut dan orofarinks di bahagian atas dengan trakea dan paru-paru di bahagian bawah,” ujarnya.

Penghidap Kanser – Peti Suara Mudah Terganggu

Tambahnya, larinks merupakan bahagian tersempit yang terdapat di sepanjang saluran pernafasan manusia. Dalam keadaan normal, ia boleh terbuka serta tertutup selain bergetar untuk mengawal udara yang keluar masuk ke paru-paru serta menghasilkan suara.

“Dalam keadaan abnormal atau berpenyakit, suara mudah terganggu.

“Sama seperti organ badan yang lain, kanser boleh terjadi pada struktur peti suara.

“Kanser ialah suatu keadaan di mana sel-sel tumbuh tanpa kawalan dan dalam struktur larinks, peti suara (glotis) ialah struktur yang paling kerap menjadi kanser berbanding dengan struktur supraglotis (atas peti suara) dan subglotis (bawah peti suara),” jelasnya sambil memberitahu, jenis kanser yang paling kerap terjadi ialah karsinoma sel skuamus.

 PETI suara merupakan bahagian terpenting yang mengatur penghasilan bunyi atau suara seseorang.

Beliau berkata, golongan lelaki lebih mudah mendapat penyakit ini disebabkan tabiat merokok yang tinggi berbanding wanita.

Rokok Penyebab Kanser Peti Suara

“Karsinogen iaitu bahan dalam asap rokok menjadi penyebab utama terjadinya kanser peti suara. Ini kerana asap rokok yang disedut akan melalui struktur peti suara sebelum sampai ke dalam paru-paru.

“Dengan meningkatnya jumlah wanita yang merokok, peratusan kanser peti suara yang dialami oleh golongan wanita juga dilihat makin bertambah.

“Selain itu, jangkitan saluran pernafasan oleh virus papiloma manusia, tabiat meminum alkohol, dan radiasi lampau untuk penyakit kanser lain turut menyumbang kepada risiko kanser peti suara ini,” katanya.

Irfan menjelaskan, tanda awal bagi kanser peti suara ditunjukkan melalui perubahan suara. Pada kebiasaannya pesakit akan mendapati suara mereka menjadi serak yang tidak kembali ke nada asal selepas beberapa minggu.

Perubahan suara selepas jangkitan kuman saluran pernafasan atas adalah perkara biasa namun jika ia tidak pulih selepas dua atau tiga minggu, perhatian perlu diberikan. Ini kerana peti suara juga mengawal gerakan udara keluar masuk ke dalam paru-paru.

“Kewujudan sebarang bentuk ketumbuhan akan menyempitkan peti suara manakala ruang udara keluar masuk semakin kecil.

Malah, geseran permukaan peti suara yang mempunyai ketumbuhan akan mengakibatkan luka dan batuk berdarah.

Endoskopi

“Pesakit juga akan berasa sukar untuk menelan makanan,” jelasnya sambil memberitahu, kanser tersebut boleh merebak ke kelenjar limfa di leher yang menyebabkan struktur tersebut menjadi bengkak.

Kanser peti suara juga boleh merebak ke organ lain seperti paru-paru dan hati sekali gus menunjukkan kanser tersebut telah berada pada tahap yang teruk.

“Dari segi rawatan, peti suara akan diperiksa menggunakan endoskopi untuk melihat ke dalam larinks. Proses ini dikenali laringoskopi. Keadaan sebenar dapat dilihat dan direkodkan apabila pesakit melalui proses ini tetapi jika terdapat keraguan, sampel tisu diperlukan.

“Prosedur ini biasanya dilakukan dalam keadaan pesakit dibius. Selain pemeriksaan larinks dan biopsi sampel tisu, bahagian leher dan kepala serta bahagian badan yang lain turut diperiksa,” tambahnya.

Menurutnya, kanser peti suara dirawat dengan menggunakan kaedah radioterapi sekiranya ia berada pada peringkat awal kerana larinks dan peti suara masih dapat diselamatkan. Suara juga dapat dikekalkan selepas menjalani sesi terapi.

“Bagi kanser tahap tinggi, pembedahan tidak dapat dielakkan dan peti suara terpaksa dikeluarkan sama ada separuh atau semuanya bergantung kepada sejauh mana kanser itu menyerang.

“Jika ini berlaku, pesakit akan diberi pilihan untuk membantu mereka bercakap setelah peti suara dibuang,” ujarnya.

Sumber Rujukan :

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0302&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm#ixzz2yHHzF7Bn

Kesan Barah Usus

Tanda Awal Diserang Kanser Usus

Kanser usus, dikenal pasti sebagai serangan kanser kedua paling banyak menyerang masyarakat di negara ini. Dianggarkan seorang daripada 33 individu berisiko diserang.

Kanser Usus

Ketua Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Datuk Dr K L Goh, berkata tanpa pemahaman yang betul mengenai kanser usus, orang ramai mungkin tidak menyedari mereka menghidap kanser berkenaan.

Beliau berkata, antara tanda kanser usus termasuklah perubahan tabiat usus, cirit birit, sembelit, buang air besar tidak lawas serta najis mempunyai darah berwarna merah terang atau merah pekat.

Di negara ini, katanya, kaum Cina mencatatkan jumlah kes berkaitan kanser usus paling tinggi, diikuti kaum Melayu dan India.

Sumber Rujukan :

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kesanbarahusus/Article/index_html

Kerap Hamil Kurangkan Risiko Kanser Ovari

Risiko Kanser Ovari

Kanser Ovari

Kepada kaum Hawa, seandainya perut anda tiba-tiba terasa kembung atau menjadi buncit tanpa sebab, berhati-hatilah dan segera bertemu doktor. Ini kerana itu adalah antara petanda anda mungkin menghidap kanser ovari.

Sel kanser yang membiak di dalam ovari atau kantung telur wanita boleh menyebabkan perut menjadi besar seperti wanita sarat mengandung dalam tempoh tidak sampai satu bulan dan merebak ke organ lain badan seperti usus, paru-paru dan buah pinggang tanpa disedari pesakit.

Pakar Gynaeoncology dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan, Dr. Nor Anita Abdullah berkata, berbeza dengan kanser payudara yang boleh dikesan awal, kanser ovari belum ada kaedah saringan berkesan dan ekonomikal.

Beliau berkata, sel kanser ovari berkembang secara agresif dan pantas. Keadaan itu menyebabkan wanita bukan sahaja boleh kehilangan kedua-dua kilang telur bahkan rahim dan pangkal rahim selalunya terpaksa dibuang menerusi pembedahan.

Jelasnya, kanser ovari tahap pertama dikelaskan sebagai sel kanser masih kekal berada dalam kantung telur namun ia tetap mampu mengembangkan saiz kilang telur yang asalnya bersaiz 2 atau 3 sentimeter sehingga menjadi tumor yang boleh mencapai berat melebihi 20 kilogram (kg).

Katanya, apabila kanser sudah merebak sehingga peringkat tiga atau empat, peratusan pesakit yang boleh hidup sehingga tempoh lima tahun adalah kurang 30 peratus, malah kebanyakan mereka terpaksa menjalani hidup yang tidak berkualiti kerana komplikasi lain seperti sakit belakang yang berpanjangan, mengalami masalah paru-paru dan terpaksa memakai beg najis kesan tumor yang menekan usus.

“Protokol kita adalah untuk membuang semua sel kanser yang kita nampak semasa pembedahan, jika ia dapat dikesan pada bahagian lain maka kita akan buang semua termasuklah juga sebahagian usus dan kelenjar limpa.

“Namun bagi pesakit kanser tahap satu berumur bawah 40 tahun ataupun yang belum berkahwin kami akan cuba selamatkan ovari dan hanya membuang tumor pada bahagian terjejas sahaja serta menasihatkan pesakit menjalani kemoterapi kerana pada usia yang muda dia boleh sembuh malah kemoterapi tidak akan menjejaskan kilang telur yang masih ada sekali gus memberi peluang pesakit hamil,” katanya.

Pil Perancang Kanser Ovari

Penghidap Kanser Ovari – Disangkakan Masalah Kegemukan

Nor Anita berkata, biarpun secara umumnya majoriti pesakit kanser ovari di negara membabitkan wanita berumur 50 hingga 54 tahun namun golongan kanak-kanak dan remaja juga tidak terkecuali.

Jelasnya, beliau sendiri di HRPZ II pernah merawat seorang pesakit berusia semuda 9 tahun dan seorang remaja berusia 19 tahun yang pada peringkat awal hanya disangka mempunyai masalah kegemukan.

“Pesakit remaja ini datang dengan perut buncit seperti orang mengandung dan oleh kerana fizikalnya yang obes pihak keluarga tidak menjangka yang buruk malah membelikannya pil pelangsing.

“Remaja ini disahkan menghidap kanser ovari tahap satu dan dalam masa dua minggu selepas dia dirujuk ke hospital pihak kami telah menjalankan pembedahan dan berjaya membuang tumor seberat 15kg,” katanya.

Nor Anita memberitahu, wanita yang mempunyai keluarga yang pernah menghidap penyakit kanser payudara dan kanser ovari mempunyai risiko tinggi mengidap penyakit ini dan seharusnya membuat pemeriksaan dengan doktor setahun sekali.

Katanya, wanita yang tidak pernah mengandung ataupun mempunyai bilangan anak yang sedikit juga berisiko kerana berbeza dengan wanita yang mempunyai anak, proses ovulasi kilang telur mereka tidak pernah ‘berehat’ dan terus berulang sehingga memungkinkan perubahan ganjil pada perkembangan sel dalam ovari.

Beliau berkata, lebih 50 peratus daripada kes kanser ovari yang dirujuk ke HRPZ II pada tahun lalu terdiri daripada pesakit yang tidak berkahwin, tidak pernah hamil dan beranak kurang dari dua orang.

“Wanita yang ramai anak setiap kali dia mengandung ovarinya tidak ‘bergerak’, dia dapat rehat panjang dan begitu juga dalam tempoh menyusukan anak. Malah wanita yang melahirkan anak kali pertama mengurangkan 45 peratus risiko menghidap kanser ovari,” katanya.

Kanser Rahim

Ikat Peranakan Boleh Mengurangkan Risiko Menghidap Kanser Ovari

Beliau berkata, wanita yang mengikat saluran peranakan juga boleh mengurangkan risiko daripada menghidap kanser ovari dan ini termasuklah juga bagi wanita yang mengambil pil perancang keluarga.

Bagaimanapun, Nor Anita berkata, teori pencegahan kanser ovari menggunakan pil perancang keluarga tidak disenangi oleh pakar perubatan yang merawat kanser payudara kerana pengambilan pil itu meningkatkan risiko kanser nombor satu wanita.

Beliau berkata, antara langkah pencegahan lain yang boleh dilakukan adalah menjauhi tabiat merokok serta menjaga pemakanan seperti mengelak pengambilan daging dan lemak yang tinggi.

Obesiti adalah faktor kepada pelbagai jenis kanser termasuklah kanser ovari, malah ia dalam masa sama ‘menyembunyikan’ keadaan sebenar abdomen pesakit yang kembung akibat tumor kanser, katanya.

Sumber Rujukan:

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Kanser Usus

Kanser Usus Menyerang Sesiapa Saja – Penyakit Barah Kedua Lazim Penyebab Kematian.

Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 610,000 orang meninggal dunia akibat kanser usus atau kolon, di seluruh dunia pada 2008.

Kanser Usus

Di negara Malaysia, Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, kanser usus juga kadangkala dipanggil kolorektal adalah kanser kedua paling lazim menyebabkan kematian dengan anggaran 3,500 kes baru setahun.

Dalam kalangan wanita, kanser usus berada di tangga ketiga selepas kanser payudara dan serviks, manakala lelaki inilah kanser paling kerap berlaku.

Kanser usus istilah merujuk kepada kanser yang bermula dalam usus (180 sentimeter atau enam kaki pertama usus besar). Di sinilah makanan kita bertukar menjadi najis dan ia akan digerakkan ke arah rektum.

Rektum ialah bahagian 15 sentimeter (cm) atau enam inci daripada usus besar yang berakhir di dubur. Usus dan rektum sebahagian daripada sistem pencernaan yang bertugas mengasingkan nutrien daripada makanan dan menyimpan bahan sisa sehingga ia dikeluarkan daripada badan sebagai najis.

Kesan Gaya Hidup, Pengaruh Genetik Penyebab Kanser Usus

Berdasarkan pengalaman Ketua Pakar Bedah Am dan Kolorektal, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Datuk Dr Meheshinder Singh, berkata dua daripada setiap tiga kes membabitkan bahagian itu dan selebihnya boleh berlaku di mana-mana sepanjang usus besar terutama di bahagian cecum dan tranverse colon.

“Kanser usus boleh berlaku kepada sesiapa saja bergantung kepada gaya hidup dan pengaruh genetik. Lazimnya ia menyerang lelaki berusia 50 tahun ke atas tapi saya juga pernah merawat remaja berusia 15 tahun untuk penyakit ini.

Tahap Kanser Usus

“Punca sebenar kanser usus masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi ia dikatakan ada kaitan dengan tabiat pemakanan dan gaya hidup seseorang. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun dan tidak menunjukkan gejala jelas sehinggalah ia semakin teruk.

“Kanser usus ialah pertumbuhan sel tidak normal dan tidak terkawal dalam usus besar atau rektum sel malignan yang hidup pada dinding usus (atau rektum) yang bermula dengan pembentukan polip (ketulan kecil), membesar menjadi tumor dan akhirnya berubah kepada kanser,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Kumpulan Sokongan Kanser Usus

Menjelas lanjut mengenai kanser makin membimbangkan ini, Dr Meheshinder yang turut memimpin Kumpulan Sokongan Pesakit Kanser Kolorektal, berkata kumpulan sokongan itu adalah tempat yang membolehkan seseorang itu bertanya dan mengetahui lebih mendalam mengenai kanser.

“Anda berpeluang bertukar-tukar maklumat dengan mereka yang mempunyai pengalaman atau pernah mengharungi serangan kanser. Mereka sudi berkongsi dengan anda mengenai bagaimana, bila dan di mana untuk mendapatkan bantuan perubatan yang betul.

“Menerusi kumpulan sokongan ini, ia lebih terbuka kerana mereka yang hadir memahami situasi yang anda lalui. Harus diingat, fakta yang perlu diketahui ialah sokongan emosi boleh melanjutkan hayat pesakit kanser,” katanya.

Tanda Kanser Usus

Kanser usus boleh terjadi tanpa gejala yang jelas, tetapi ada beberapa tanda yang perlu diberi perhatian iaitu apabila anda mengalami masalah untuk buang air besar. Peringkat awal kanser usus mungkin tidak menunjukkan gejala, tetapi apabila polip mula membesar menjadi tumor, ia boleh menyekat laluan usus dan mungkin menyebabkan pendarahan. Antara gejala kanser usus ialah:

  • Kerap buang air, tetapi tetap rasa tidak puas.
  • Alami masalah sembelit dan cirit-birit berselang-seli.
  • Najis bercampur darah.
  • Najis berwarna kehitaman (akibat kehadiran darah). Warna najis menunjukkan lokasi pendarahan dalam usus. Jika darah itu merah dan terang bermakna pendarahan berlaku pada bahagian hujung usus yang berdekatan dengan rektum. Najis yang kehitaman menunjukkan pendarahan berlaku pada pertengahan atau pangkal usus (dekat dengan apendiks).
  • Perubahan pada bentuk najis (sama ada menjadi semakin kecil atau nipis).
  • Perut rasa memulas.
  • Terasa asyik hendak buang air besar (walaupun sebenarnya tidak perlu).
  • Perut rasa tidak selesa (sama ada senak, sakit atau kembung).
  • Muntah.
  • Hilang selera makan.
  • Berat badan turun tanpa sebab.
  • Kerap penat.
  • Pada keadaan serius, pesakit mungkin tidak boleh buang air.

Sumber Rujukan: www.bharian.com.my/articles/Kanserusus/Article/

Herba Dijadikan Ubat Kanser Payudara

10 Herba Potensi Untuk Ubat Kanser Payudara

PASIR MAS:  Lebih 10 pokok herba di negara ini didapati berpotensi dimajukan secara komersial sebagai ubat merawat barah, terutama kanser payudara.

Pensyarah jemputan berkaitan herba di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, Mohd Nor Ibrahim berkata mengikut kajiannya antara pokok terbabit, Pokok Bunga Kenerak atau nama saintifiknya Goniothalamus Umbrosus, didapati berpotensi untuk tujuan itu.

“Saya telah pun menghantar ekstrak pokok itu yang diambil daripada bunga, daun, akar dan kulit batang pokok untuk dikaji oleh CEPP (Loji Pandu Kejuruteraan Kimia) di UTM dua minggu lepas untuk mengetahui kandungan utama bahan pencegahan yang terdapat dalam tumbuhan itu,” katanya kepada Bernama di Kampung Tendong di sini hari ini.

CEPP merupakan pusat penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pembangunan teknologi proses untuk industri herba, fitokimia dan bioproses di UTM.

Hasil Kajian Berkaitan Herba Dijadikan Ubat Kanser

Berdasarkan kajian sejak 1999 itu, beliau mendapati kenerak banyak digunakan oleh pengamal perubatan tradisional untuk merawat kanser payu dara dan ia didapati berkesan selepas seseorang pesakit menjalani empat rawatan dengan cara meminum ekstrak pokok itu.

herba ubat kanser

“Ia menjadi amalan sejak ratusan tahun dan dua minggu lepas, seorang pengamal perubatan di Wakaf Baru di sini didakwa berjaya menyembuhkan penyakit bayah payu dara anaknya menggunakan bunga, daun, akar dan kulit batang pokok itu,” katanya.

Beliau berkata daun, bunga dan kulit batang pokok itu yang dikeringkan boleh dijadikan minuman dengan memasukkan air yang baru mendidih, dan rasanya seperti minuman teh Cina.

Mohd Nor yang berpengalaman luas dalam penanaman herba dan kegunaannya, berkata beliau pernah menjual 100 pokok itu yang bernilai RM8,000 kepada sebuah syarikat perladangan di Selangor.

Ekstrak kenerak untuk tujuan perubatan mampu mencecah $US4,000 sekilogram di pasaran Amerika Syarikat.

“Jika ada syarikat yang ingin memajukan kegunaan tumbuhan itu, saya bersedia membekalkan pokok itu kerana mempunyai tapak semaian pokok itu di Tendong dan Kampung Saka di sini,” katanya.

Mohd Nor yang juga bekas presiden Persatuan Pengusaha Perabot dan Tukang Kayu Melayu Kelantan dan aktivis alam sekitar, berkata pokok itu sukar ditanam kerana proses tumbesarannya memakan masa empat tahun untuk mencapai ketinggian satu meter.

Herba Lain Sebagai Ubat Kanser

Selain kenerak, beliau berkata pokok Barah Hantu atau Lada Hantu, Lidah Ular, Cukilan, Megat Dewa, Pokok Daun Tujuh Jarum Hijau dan Pokok Tujuh Jarum Merah, Terung Susu Kambing, Laksamana Akar, Pokok JE, Puting Beliung dan Ibung merupakan antara pokok herba yang digunakan bagi merawat barah.

Kebanyakan pokok itu banyak digunakan untuk merawat wanita selepas bersalin selain boleh mengubati penyakit kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi. BERNAMA

Sumber Rujukan:

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2006/6/14/TERKINI/Mutakhir/Lebih_10_herba_potensi_untuk_ubat_kanser_payudara&sec=mstar_berita

 

Kanser Kolon

Rawatan Kanser Kolon

Kanser Kolon

Dianggarkan seorang dalam 33 orang rakyat Malaysia berisiko menghidap kanser kolorektum atau kanser kolon, iaitu pertumbuhan sel-sel barah di usus besar (kolon) dan rektum.

Ini menjadikannya bentuk kanser kedua paling biasa yang dihidapi oleh rakyat Malaysia pada hari ini.

Kanser Kolon

Kira-kira 50 hingga 60 peratus pesakit kanser kolon akan mengalami metastasis, di mana proses sel kanser merebak ke tisu yang lebih jauh.

Sebaik sahaja kanser kolon ini merebak ke bahagian lain dalam badan, kadar hayat atau survival pesakit merosot dengan teruk.

Sebagai kanser ketiga paling umum di dunia dengan anggaran 1.23 juta orang disahkan menghidapnya pada tahun 2008, terdapat keperluan yang belum dapat dipenuhi bagi pilihan rawatan yang berkesan bagi kanser kolon dengan metastasis peringkat terlalu lanjut.

Pandangan Pakar Berkaitan Kanser Kolon

Menurut Pengarah Perubatan dan Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Pusat Pakar Beacon International di Petaling Jaya, Selangor, Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Wahid, kebanyakan pesakit kanser kolon (barah usus besar) mengesan penyakit ini hanya di peringkat lanjut apabila kadar survival lima tahun adalah kurang daripada 10 peratus.

Kata beliau, pilihan rawatan untuk pesakit kanser kolon dengan metastasis peringkat lanjut adalah terhad terutama sekali selepas tiada lagi pendekatan standard.

Ubat Kanser Kolon

”Pilihan rawatan seperti pengambilan regorafenib (ubat orang yang biasa digunakan untuk merawat kanser kolon dan sedang dalam kajian bagi kegunaan ke atas lain-lain jenis kanser lain) pasti akan dialu-alukan kerana pesakit mempunyai lebih banyak masa berharga bersama mereka yang tersayang.

Ubat Kanser Kolon

” Sebagai ubat oral, regorafenib juga memberi kelebihan tambahan berbanding rawatan intravena lain yang selama ini boleh didapati oleh pesakit,” ujar Dr. Mohamed Ibrahim yang ditemui pada majlis pelancaran Stivarga (nama dagang bagi regorafenib) baru-baru ini.

Sementara itu, Bayer HealthCare menawarkan harapan baru kepada lebih 1,000 orang rakyat yang dianggarkan menghidap kanser kolorektum setiap tahun dengan pelancaran Stivarga (regorafenib) baru-baru ini.

Stivarga adalah ubat oral (pengambilan melalui mulut) pertama yang dikatakan membantu meningkatkan peluang survival atau kelangsungan hidup pesakit yang menghidap kanser kolon peringkat lanjut.

Kelulusan bagi pil Stivarga di Malaysia membawa harapan baru kepada pesakit kanser kolon peringkat lanjut yang sebelum ini menerima rawatan standard.

Stivarga telah diluluskan untuk kegunaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada bulan Jun 2013 bagi merawat kanser kolon dengan metastasis peringkat lanjut.

Kelulusan Stivarga adalah berdasarkan keputusan positif daripada ujian Fasa 111 Correct (Kanser kolorektum dirawat dengan Regorafenib atau placebo selepas kegagalan terapi standard) yang menjadi tanda aras global, membabitkan 760 orang pesakit, dengan 15 peratus daripada mereka adalah dari Asia.

Kajian Correct menunjukkan bahawa rawatan dengan regorafenib yang ditambah penjagaan sokongan terbaik dapat meningkatkan kadar survival secara keseluruhan dan menyekat penularan penyakit, berbanding pesakit kanser kolon metastasis yang bertambah teruk selepas menjalani rawatan standard diluluskan yang mengambil plasebo.

Menurut Pakar Onkologi Perubatan dari Melbourne, Australia, Dr. Peter Gibbs, kajian Correct telah menunjukkan keupayaan regorafenib untuk meningkat kawalan tumor dan kadar survival sebilangan besar pesakit yang sebelum ini tidak mempunyai pilihan rawatan.

”Ini adalah satu kemajuan penting dalam rawatan kanser kolorektum peringkat lanjut,” ujar beliau.

Sumber Rujukan : http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130924/kn_02/Rawatan-kanser-kolorektum#ixzz2sMoave60