Teknologi Endoscopic Ultrasound Kesan Barah / Kanser Pankreas Awal
PENGASAS Apple, Steve Jobs; aktor Patrick Swayze dan Michael Landon termasuk penyanyi tenor, Luciano Pavarotti adalah antara selebriti dan golongan ternama yang menderita dan tewas akibat barah pankreas. Dikenali sebagai pembunuh senyap, kanser pankreas bukanlah penyakit yang lazim berlaku berbanding barah jenis lain.
Masalah terbesar barah pankreas adalah ia hanya dikesan pada peringkat serius. Ketika pembedahan dilakukan, ia sudah tidak berguna lagi. Akibatnya, pakar perubatan tidak dapat mengeluarkan kanser dari tubuh pesakit. Sehubungan itu, isu utama dalam kebanyakan rawatan barah pankreas ialah untuk mengesan barah berkenaan seawal mungkin.
Perunding Gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Datuk Dr Ryan Ponnudurai berkata, apabila pesakit mengadu sakit pada bahagian abdomen, ia harus disiasat segera.
Ujian Imbasan CT Untuk Mengesan Kanser Pankreas
“Merujuk kes terbaru saya November lalu, seorang pesakit rakyat Belanda menjalani ujian imbasan CT pada abdomen iaitu antara kaedah terbaik untuk menyiasat dan mengesan kanser pankreas.
“Tetapi teknik ini kurang berkesan untuk mengesan barah di peringkat awal, lebih-lebih lagi ketika tumor masih kecil. Hanya selepas tumor membesar lebih dari dua sentimeter, imbasan CT mampu mengesannya. Sayangnya, ketika itu sudah terlambat untuk pembedahan,” katanya ketika ditemui kolum sihat di PCMC di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr Ryan berkata, pesakit bagaimanapun sangat bernasib baik apabila tumor yang ada pada pankreas dikesan melalui prosedur dikenali sebagai endoscopic ultrasound. Menurutnya, prosedur ini membabitkan rawatan skop seperti biasa di mana pesakit tidak perlu bermalam.
Melalui kaedah ini, pesakit diletakkan dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika skop dilakukan. Pada masa sama, sampel tisu diambil untuk tujuan biopsy. Pesakit dibenarkan pulang sebaik prosedur berakhir.
“Prosedur ini memberikan saya banyak maklumat. Ia dapat mengesan sebarang tumor mahupun ketumbuhan yang tidak dapat dikesan imbasan CT kerana ia terlalu kecil. Saya juga dapat mengkelaskan barah mengikut peringkatnya dan terus mendapatkan sampel tisu.
“Tisu sangat penting dan saya sering menggelarkan keadaan ini sebagai tisu adalah isu. Ini kerana kita perlukan sampel daging (tisu) untuk merawat,” kata Dr Ryan lagi.
Beliau berkata, dalam kes pesakitnya, prosedur Whipple yang biasa dilakukan bagi kes kanser di kepala pankreas dikendalikan. Melalui prosedur ini, seluruh organ dikeluarkan bersama sebahagian perut, duodenum, nodus limfa dan beberapa tisu lain.
Hasilnya, semua tumor berjaya dikeluarkan dan kanser dikawal dari merebak. Prosedur ini kompleks dan berisiko kerana berdepan risiko komplikasi kebocoran, jangkitan, pendarahan dan masalah dalam perut.
Biarpun Dr Ryan mengajar pakar di Malaysia mengenai penggunaan teknologi endoscopic ultrasound, prosedur ini tidak banyak disediakan di pusat perubatan.
“Pengendalian cukup mudah dan tidak memerlukan sebarang pembedahan. Pesakit tidak perlu menginap di hospital lalu mengurangkan kos. Doktor juga boleh terus melihat tumor, mengelaskannya dan menilai sama ada boleh dibedah atau tidak. Kita juga boleh tahu apakah ia membabitkan pelbagai saluran darah,” katanya.
Dr Ryan berkata, isu barah gagal dikeluarkan kerana pembedahan dilakukan lewat juga dapat dielak melalui penggunaan teknik endoscopic ultrasound.
“Isu seumpama itu dapat dielak. Jika tidak pesakit tambah derita kerana perlu sebulan untuk pulih dari pembedahan yang tidak berjaya. Padahal, kebanyakan mereka cuma ada enam bulan saja untuk hidup,” katanya.
Jelas Dr Ryan, teknologi endoscopic ultrasound diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak ramai yang mahir mengendalikannya. Malah, ada yang tidak tahu kewujudan teknik ini. Prosedur ini mampu mengkelaskan pelbagai jenis barah termasuk barah paru-paru, barah perut dan kanser pankreas.
Gejala Klasik KanserPankreas
Sehubungan itu, sikap berjaga-jaga dan bimbang melihat orang tersayang hilang berat badan mendadak atau sakit di perut dan abdomen perlu ada. Bawalah mereka berjumpa pakar perubatan untuk dikaji. Ini kerana antara gejala klasik kanser pankreas adalah sakit belakang, hilang berat badan dan mendapat penyakit kuning. Lazimnya, apabila rasa sakit-sakit sudah melarat ke belakang, ia sudah melarat ke saraf pesakit.
“Saya fikir di mana-manapun di seluruh dunia, kita tidak tahu apakah kaedah yang lebih kos efektif untuk mengesan barah pankreas secara awal.
“Ini kerana barah pankreas tidak biasa berlaku. Tidak seperti barah kolon, di peringkat antarabangsa, kami tidak menyarankan saringan barah pankreas dijalankan ke atas semua orang.
“Sehubungan itu, nasihat saya, mereka yang mengalami tanda-tanda amaran seperti sakit belakang, hilang berat badan mendadak, hilang selera makan atau menghidap sakit kuning serta mempunyai ahli keluarga yang mengalami barah pankreas, lakukanlah pemeriksaan awal,” katanya.
‘Usah lengah jumpa pakar’
BARAH pankreas lazimnya hanya dikesan di peringkat parah. Namun, bagi Frederik Riem Vis, 59, dan isterinya, Annellies Riem Vis, warga Belanda yang sedang mengikuti program Malaysia Rumah Keduaku sejak April lalu, keupayaan mengesan kanser pankreas di peringkat awal disifatkan pengalaman ‘berpantang maut sebelum ajal’.
Awal Ogos lalu, Frederik berjumpa doktor selepas merasa kurang selesa, sakit-sakit, hilang berat badan mendadak serta lesu sepanjang hari. Kemudian pakar perubatan mengarahkan prosedur endoskopi tradisional dan imbasan CT untuk mengesan masalah sebenar. Namun, kedua-dua keputusan berkenaan tidak menunjukkan sebarang keputusan.
“Saya hanya dinasihat untuk mengambil ubat seperti biasa. Bagaimanapun, rasa sakit makin menjadi-jadi dan kerap dirasakan di sekitar perut dan abdomen.
“Akhirnya, pada 4 Oktober lalu, saya dikejarkan ke PCMC dengan bantuan ambulans dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas disahkan mengalami demam denggi.
“Ketika berada di ICU, saya beritahu doktor mengenai rasa kurang selesa dan kesakitan berterusan di bahagian perut. Saya terus dibawa bertemu Dr Ryan. Beliau mencadangkan saya menjalani endoskopik ultrasound, antara teknik terkini mengesan pesakit dengan masalah perut dan biopsy selain imbasan CT,” katanya ketika ditemui kolum Sihat.
Frederik berkata, imbasan CT tidak menunjukkan sebarang keputusan, sebaliknya analisis endoskopik ultrasound mengejutkan dengan penemuan tumor yang masih di peringkat awal pada pankreas.
“Keputusan biopsy dan pandangan kedua pakar lain mengenai keputusan biopsy juga mengesahkan wujudnya barah pada pankreas yang memerlukan pembedahan segera,” jelas Frederik yang kehilangan ibu dan bapa akibat barah payu dara dan ketumbuhan pada otak.
Berikutan dikesan awal, keadaan organ Frederik masih baik dan sesuai untuk prosedur berkenaan. Kebanyakan pesakit barah pankreas di Malaysia, hanya berjaya dikesan pada peringkat serius dan pembedahan pada peringkat ini sudah tidak berguna lagi.
“Kami dalam dilema sama ada untuk menjalani prosedur pembedahan khusus yang dikenali sebagai Prosedur Wipply di Malaysia atau pulang ke Belanda.
“Jika di negara sendiri, kami dikelilingi saudara mara selain diberi sokongan moral sahabat handai. Namun, keyakinan dan kekaguman yang tinggi terhadap kepakaran dan kecekapan pakar di Malaysia mendorong kami untuk melakukan prosedur itu di sini,” katanya.
Frederik berkata, pada 19 November lalu, iaitu seminggu selepas disahkan menghidap kanser pankreas, pembedahan dijalankan tanpa perlu menunggu.
“Bagi kami orang Belanda, tidak perlu menunggu giliran adalah sesuatu yang jarang berlaku di kebanyakan hospital di sana. Prosedur berjalan selama enam jam itu lancar.
“Kami amat bersyukur kerana akibat berjaya mengesan awal, pankreas, saluran penghadaman dan sebahagian besar otot dapat diselamatkan. Ia cukup membantu proses penyembuhan saya. Hanya tuhan yang tahu betapa bertuahnya saya,” katanya.
Bagi Frederik yang mempunyai sejarah ahli keluarga penghidap kanser, beliau cukup sensitif dengan setiap perubahan luar biasa pada tubuh.
“Sejarah keluarga inilah yang membuatkan saya lebih berhati-hati dan cepat bertindak apabila tubuh memberi isyarat yang berlainan. Ini kerana kita sudah berumur tentu kita kenal badan kita.
“Nasihat saya, jika saban hari ada sesuatu yang sentiasa membuat tubuh merasa kurang selesa, jangan berlengah. Dapatkan bantuan pakar perubatan dengan segera.
“Anda pasti tidak akan menyesal kemudian hari,” katanya yang ditempatkan di ICU selama lapan hari sebelum dibenarkan pulang sebelum meneruskan rawatan kemoterapi dan radioterapi pula.
Info Berkaitan Kanser Pankreas
Gejala barah pankreas hanya muncul apabila tumor semakin membesar antaranya:
- Sakit di bahagian atas abdomen akibat tumor menekan saraf
- Kulit dan mata menjadi kuning dan serta air kencing menjadi gelap dipanggil jaundice
- Hilang selera makan, mual dan muntah.
- Berat badan turun mendadak dan sering lesu.
- Najis berwarna pucat dan kelabu serta ada lebihan lemak dalam najis.
Sumber Rujukan : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kenalikanserpankreas/Article/index