Tag Archives: kanser usus

Gaya Hidup Punca Kanser Usus Besar

Kanser Usus Besar

Usus ialah organ terpanjang dalam sistem penghadaman dan mempunyai dua bahagian iaitu usus besar dan usus kecil. Panjang usus besar kira-kira 1.5 meter, berbeza di kalangan setiap individu.

Kanser usus ini sering dialami penduduk di negara maju dan membangun. Di Malaysia, penyakit ini sering menyerang dan mencatat tangga ketiga jenis kanser yang kerap dihidapi penduduk.
Kanser Usus

Mengikut laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan, anggaran 10.4 daripada 100,000 penduduk boleh mendapat kanser usus besar. Di negara ini, tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India mempunyai risiko sama besar untuk terdedah kepada kanser usus.

Bagaimanapun, kanser ini lebih banyak dihidapi masyarakat Cina. Pengambilan makanan yang hampir sama dengan negara maju dipercayai menjadi punca penyakit ini.

Di negara maju, kekerapan mendapat kanser usus akan meningkat selepas usia 50 tahun tetapi di negara kita, mereka yang berusia 40 tahun ke atas terdedah penyakit ini.

Risiko mendapat kanser usus bagi lelaki dan wanita lebih kurang sama tetapi kanser yang menyerang bahagian rektum lebih banyak dihadapi wanita.

Pakar perunding pembedahan Hospital Pantai Klang, Dr Shalizan Torman, berkata kira-kira 80 hingga 85 peratus kanser usus besar disebabkan ‘sporadic’ iaitu pemakanan dan gaya hidup, manakala 10 hingga 15 peratus berpunca daripada genetik iaitu mereka yang mempunyai pertalian keluarga yang pernah mendapat kanser usus turut terdedah kepada penyakit ini.

Gejala biasanya bergantung kepada bagaimana kanser itu terjadi, antaranya:

  1. Keluar darah melalui dubur — bergantung kepada di mana usus itu berada. Jika kanser terjadi di bahagian berdekatan dubur, darah yang keluar berwarna merah terang dan cair. Jika berlaku di sebelah kanan, darah biasanya bercampur najis dan ia berwarna lebih pekat.
  2. Perubahan tabiat buang air besar. Kadangkala pesakit mengalami cirit-birit dan diselang seli dengan keadaan normal juga sembelit. Pesakit juga kadangkala tidak puas buang air besar iaitu terasa ingin membuang air besar tetapi tiada apa yang keluar.
  3. Sakit perut lebih kepada bahagian kiri abdomen.
  4. Berat badan berkurangan tanpa sebab.
  5. Muka pucat, kurang darah (anemia), letih dan tidak bermaya.
  6. Kurang 10 peratus pesakit mengalami penyumbatan usus.

Diagnosis Kanser Usus

Beberapa ujian boleh dilakukan untuk mengetahui sama ada kita menghidap penyakit kanser usus iaitu:

1) Faecal Occilt Blood Test (FOBT) atau ujian darah okulta tinja iaitu ujian ringkas bagi mengenal pasti tanda awal kehadiran sel darah merah di dalam najis pesakit.

2) Double Contrast Barium Enema iaitu memasukkan sejenis cecair ke dalam dubur pesakit, kemudian diadakan ujian sinar-X untuk mengesan kanser usus.

3) Flexible Sigmoidoscopy iaitu memasukkan alat yang fleksibel dengan di depannya ada kamera melalui dubur untuk meninjau bahagian kiri abdomen (rektum dan sigmoid iaitu bahagian kiri usus besar).

4) Kolonoskopi iaitu alat yang dimasukkan melalui dubur untuk melihat keseluruhan usus besar.

5) Virtual Colonoscopy iaitu menggunakan komputer dan CT Scan. Pesakit berbaring di dalam ruang khusus untuk imbasan dan komputer akan melihat kemungkinan adanya kehadiran kanser. Bagaimanapun, alat ini belum digunakan dengan meluas.

Menurutnya, seseorang itu biasanya tidak berjumpa doktor kerana tidak mempunyai sebarang gejala diserang kanser usus. Ini menyebabkan kebanyakan penyakit kanser usus berada pada tahap akhir dan sukar diselamatkan kerana pesakit tidak mengalami sebarang gejala.

Di negara maju, ujian saringan kanser usus dilakukan ke atas individu yang tidak mempunyai gejala dilakukan bagi mengesan penyakit itu.

Faktor/risiko Untuk Mendapat Kanser Usus:

1) Diet tidak seimbang iaitu mengambil makanan tinggi lemak dalam kuantiti tinggi dan kurang mengambil makanan tinggi serat

2) Obesiti

3) Jika dulu pesakit pernah mengalami kanser kolon tetapi sudah menjalani pembedahan membuang kanser berkenaan

4) Pesakit pernah mempunyai polip dalam usus. Bukan semua polip ada risiko untuk mendapat kanser usus. Cuma satu polip iaitu adenomatous dipercayai penyebab kanser.

5) Usia — risiko mendapat kanser usus bertambah seiring peningkatan usia. Mereka yang berusia 40 tahun ke atas terdedah risiko

6) Gaya hidup sedentari iaitu kurang bersenam

Untuk memudahkan rawatan dilakukan, kita perlu mengklasifikasikan pesakit kepada beberapa peringkat yang dipanggil TNM Classification iaitu:

T (Tumor) — bergantung kepada perbezaan saiz tumor di dinding usus.

N (Nodus) — bergantung kepada berapa banyak kelenjar limfa yang diserang kanser.

M (Metastasis) — kanser merebak di bahagian lain, terutama hati dan paru-paru.

Peringkat Kanser Usus

Satu cara lagi untuk membahagikan tahap/peringkat kanser ialah Duke’s Stage. Usus kita mempunyai tiga lapisan iaitu dalam, tengah (otot) dan lapisan luar.

Duke’s A — kanser membabitkan usus dalam saja.

Duke’s B — kanser di lapisan luar tanpa pembabitan kelenjar limfa.

Duke’s C — kanser di lapisan luar dan kelenjar limfa.

Jika Duke’s A, kira-kira 62 hingga 98 peratus pesakit masih hidup dalam tempoh lima tahun. Bagi Duke’s B, kira-kira 55 hingga 78 peratus masih bertahan hidup manakala Duke’s C, anggaran 29 hingga 49 peratus pesakit masih hidup.

Mengurangkan Risiko Kanser Usus:

1) mengamalkan hidup sihat iaitu pengambilan makanan berkhasiat iaitu melebihkan pengambilan sayuran dan buah-buahan

2) mengurangkan makanan mengandungi lemak haiwan seperti kambing dan lembu

3) mengekalkan berat badan seimbang

4) selalu bersenam

5) tidak merokok

6) tidak mengambil minuman beralkohol

Rawatan Kanser Usus

1) Pesakit ditawarkan supaya pembedahan dilakukan di tempat yang diserang kanser. Jika kawasan terbabit ialah usus kanan, ia dibuang dan usus disambung balik.

2) Kemoterapi — dalam kebanyakan kes, pesakit dicadangkan untuk kemoterapi selepas pembedahan bagi membunuh semua sel kanser yang tidak dapat dilihat di mata kasar.

3) Radioterapi — pancaran untuk membunuh sel kanser bagi kanser rektum.

Sumber Rujukan :

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gayahiduppuncakanserususbesar//Article/article_print

Kesan Barah Usus

Tanda Awal Diserang Kanser Usus

Kanser usus, dikenal pasti sebagai serangan kanser kedua paling banyak menyerang masyarakat di negara ini. Dianggarkan seorang daripada 33 individu berisiko diserang.

Kanser Usus

Ketua Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Datuk Dr K L Goh, berkata tanpa pemahaman yang betul mengenai kanser usus, orang ramai mungkin tidak menyedari mereka menghidap kanser berkenaan.

Beliau berkata, antara tanda kanser usus termasuklah perubahan tabiat usus, cirit birit, sembelit, buang air besar tidak lawas serta najis mempunyai darah berwarna merah terang atau merah pekat.

Di negara ini, katanya, kaum Cina mencatatkan jumlah kes berkaitan kanser usus paling tinggi, diikuti kaum Melayu dan India.

Sumber Rujukan :

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kesanbarahusus/Article/index_html

Kanser Usus

Kanser Usus Menyerang Sesiapa Saja – Penyakit Barah Kedua Lazim Penyebab Kematian.

Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 610,000 orang meninggal dunia akibat kanser usus atau kolon, di seluruh dunia pada 2008.

Kanser Usus

Di negara Malaysia, Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, kanser usus juga kadangkala dipanggil kolorektal adalah kanser kedua paling lazim menyebabkan kematian dengan anggaran 3,500 kes baru setahun.

Dalam kalangan wanita, kanser usus berada di tangga ketiga selepas kanser payudara dan serviks, manakala lelaki inilah kanser paling kerap berlaku.

Kanser usus istilah merujuk kepada kanser yang bermula dalam usus (180 sentimeter atau enam kaki pertama usus besar). Di sinilah makanan kita bertukar menjadi najis dan ia akan digerakkan ke arah rektum.

Rektum ialah bahagian 15 sentimeter (cm) atau enam inci daripada usus besar yang berakhir di dubur. Usus dan rektum sebahagian daripada sistem pencernaan yang bertugas mengasingkan nutrien daripada makanan dan menyimpan bahan sisa sehingga ia dikeluarkan daripada badan sebagai najis.

Kesan Gaya Hidup, Pengaruh Genetik Penyebab Kanser Usus

Berdasarkan pengalaman Ketua Pakar Bedah Am dan Kolorektal, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Datuk Dr Meheshinder Singh, berkata dua daripada setiap tiga kes membabitkan bahagian itu dan selebihnya boleh berlaku di mana-mana sepanjang usus besar terutama di bahagian cecum dan tranverse colon.

“Kanser usus boleh berlaku kepada sesiapa saja bergantung kepada gaya hidup dan pengaruh genetik. Lazimnya ia menyerang lelaki berusia 50 tahun ke atas tapi saya juga pernah merawat remaja berusia 15 tahun untuk penyakit ini.

Tahap Kanser Usus

“Punca sebenar kanser usus masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi ia dikatakan ada kaitan dengan tabiat pemakanan dan gaya hidup seseorang. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun dan tidak menunjukkan gejala jelas sehinggalah ia semakin teruk.

“Kanser usus ialah pertumbuhan sel tidak normal dan tidak terkawal dalam usus besar atau rektum sel malignan yang hidup pada dinding usus (atau rektum) yang bermula dengan pembentukan polip (ketulan kecil), membesar menjadi tumor dan akhirnya berubah kepada kanser,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Kumpulan Sokongan Kanser Usus

Menjelas lanjut mengenai kanser makin membimbangkan ini, Dr Meheshinder yang turut memimpin Kumpulan Sokongan Pesakit Kanser Kolorektal, berkata kumpulan sokongan itu adalah tempat yang membolehkan seseorang itu bertanya dan mengetahui lebih mendalam mengenai kanser.

“Anda berpeluang bertukar-tukar maklumat dengan mereka yang mempunyai pengalaman atau pernah mengharungi serangan kanser. Mereka sudi berkongsi dengan anda mengenai bagaimana, bila dan di mana untuk mendapatkan bantuan perubatan yang betul.

“Menerusi kumpulan sokongan ini, ia lebih terbuka kerana mereka yang hadir memahami situasi yang anda lalui. Harus diingat, fakta yang perlu diketahui ialah sokongan emosi boleh melanjutkan hayat pesakit kanser,” katanya.

Tanda Kanser Usus

Kanser usus boleh terjadi tanpa gejala yang jelas, tetapi ada beberapa tanda yang perlu diberi perhatian iaitu apabila anda mengalami masalah untuk buang air besar. Peringkat awal kanser usus mungkin tidak menunjukkan gejala, tetapi apabila polip mula membesar menjadi tumor, ia boleh menyekat laluan usus dan mungkin menyebabkan pendarahan. Antara gejala kanser usus ialah:

  • Kerap buang air, tetapi tetap rasa tidak puas.
  • Alami masalah sembelit dan cirit-birit berselang-seli.
  • Najis bercampur darah.
  • Najis berwarna kehitaman (akibat kehadiran darah). Warna najis menunjukkan lokasi pendarahan dalam usus. Jika darah itu merah dan terang bermakna pendarahan berlaku pada bahagian hujung usus yang berdekatan dengan rektum. Najis yang kehitaman menunjukkan pendarahan berlaku pada pertengahan atau pangkal usus (dekat dengan apendiks).
  • Perubahan pada bentuk najis (sama ada menjadi semakin kecil atau nipis).
  • Perut rasa memulas.
  • Terasa asyik hendak buang air besar (walaupun sebenarnya tidak perlu).
  • Perut rasa tidak selesa (sama ada senak, sakit atau kembung).
  • Muntah.
  • Hilang selera makan.
  • Berat badan turun tanpa sebab.
  • Kerap penat.
  • Pada keadaan serius, pesakit mungkin tidak boleh buang air.

Sumber Rujukan: www.bharian.com.my/articles/Kanserusus/Article/