Category Archives: Kaser Serviks

Kanser Serviks Dialami Wanita Boleh Dicegah

Kanser Dan Wanita

Benarkah wanita lebih rela menjimatkan wang mereka dengan aktiviti disukai atau membeli-belah daripada membayar kos perbelanjaan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital?

kanser wanitaJawapannya, ya. Ia berdasarkan penemuan daripada kajian kanser serviks global yang bertajuk ‘Apa Wanita Fikirkan (What Women Think)’ yang dijalankan di 19 negara termasuk Malaysia.

Kajian berkenaan mendapati kebanyakan wanita di Malaysia lebih rela menjimatkan wang mereka atau membelanjakannya untuk percutian, melebihi perkara yang berkaitan dengan kesihatan seperti vaksinasi.

Malah, mereka juga lebih mengutamakan temujanji kerja berbanding bertemu dengan doktor. Mungkin ia dianggap perkara biasa dan tidak penting terutama apabila membabitkan kanser yang banyak menyerang wanita seperti kanser pangkal rahim (serviks).

Statistik Kanser Terhadap Wanita

Tahukah anda di seluruh dunia terdapat lebih daripada 250,000 wanita maut akibat kanser serviks setiap tahun? Ini menunjukkan 99 peratus kes disebabkan oleh jangkitan Human Papilloma Virus (HPV).

Presiden dan Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr Saunthari Somasundaram berkata, terdapat lebih daripada 100 jenis HPV yang dikenali dan HPV penyebab kanser jenis 16 dan 18 bersama-sama menyumbang hingga 70 peratus kepada kes kanser serviks di seluruh dunia.

“Lebih 80 peratus wanita akan dijangkiti HPV yang menyebabkan kanser serviks, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka.

“Di Malaysia, kanser berkenaan ketiga paling kerap berlaku dalam kalangan wanita. Berdasarkan angka yang membimbangkan itu, penting bagi wanita untuk mengambil tindakan segera terhadap penyakit yang boleh dicegah ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Pusat Pengesanan Kanser Wanita NCSM Dr Dalilah Kamaruddin, kanser serviks sejenis kanser yang boleh dicegah.

“Ia boleh dicegah menerusi pengambilan suntikan vaksin HPV seawal 10 tahun sebanyak tiga kali dalam masa enam bulan bagi mencegahnya daripada terus menyerang wanita.

 Ujian Pap Smear Untuk Wanita Mengesan Kanser

“Selepas seseorang wanita itu mula aktif dengan aktiviti seksual, mereka perlu menjalankan ujian pap smear setahun atau dua tahun sekali bagi mengelakkan risiko menghidap kanser itu,” katanya pada majlis pelancaran kempen Power Over Cervical Cancer (POCC), baru-baru ini.

pap smear

Hadir sama, Pengarah Unit Bisnes GSK Pharmaceutical Sdn Bhd, Nittan Katyal dan Pengurus Kanan Kecergasan Fitness First, Lukman Jasril.

Kanser Pangkal Rahim

Tambahnya, begitu membimbangkan apabila kanser pangkal rahim menyebabkan kematian seorang wanita setiap dua minit di seluruh dunia.

Dianggarkan 1,500 wanita negara ini disahkan mendapat kanser pangkal rahim setiap tahun. Kanser serviks menyumbang enam peratus daripada jumlah kematian akibat kanser dalam kalangan wanita.

Di Malaysia, kanser pangkal rahim adalah barah ketiga yang biasa berlaku dalam kalangan wanita selepas kanser payudara dan kolorektal. Kanser berkenaan boleh menyerang mana-mana wanita, tanpa mengira usia dan latar belakang keturunan.

Justeru, kempen tahunan yang diadakan kali keenam untuk tahun ini dilaksanakan bertujuan menggalakkan semua wanita supaya mengambil inisiatif sendiri bagi menghalang kanser itu menyerang menerusi kempen ‘Mula Meluangkan Masa dan Berhenti Membuat Alasan’.

Ia adalah inisiatif NCSM dan disokong GlaxoSmithKline (GSK) Pharmaceutical Sdn Bhd untuk mendidik orang ramai dengan pengetahuan dan maklumat mengenai kanser serviks serta pencegahannya.

Kempen berkenaan mendapat sokongan daripada Artisan Coffee, Bangsar Shopping Centre, Fitness First Malaysia dan The Bee manakala pusat beli-belah 1 Utama menjadi penaja rasmi.

Menariknya, menerusi kempen itu kehadiran model yang memakai papan sandwic akan berjalan di lokasi sibuk seperti pusat beli-belah untuk memaklumkan kepada mengenai cara pencegahan kanser serviks.

Selain itu, POCC juga akan mengambil bahagian dalam pameran yang sering dikunjungi wanita untuk terus mendidik mereka mengenai barah berkenaan.

Pasukan sukarelawan turut bersama-sama menyebarkan mesej pencegahan kanser serviks dengan orang ramai di kawasan perniagaan.

Sumber Rujukan :

http://www.hmetro.com.my/articles/Kanserserviksbolehdicegah/Article

Kerap Hamil Kurangkan Risiko Kanser Ovari

Risiko Kanser Ovari

Kanser Ovari

Kepada kaum Hawa, seandainya perut anda tiba-tiba terasa kembung atau menjadi buncit tanpa sebab, berhati-hatilah dan segera bertemu doktor. Ini kerana itu adalah antara petanda anda mungkin menghidap kanser ovari.

Sel kanser yang membiak di dalam ovari atau kantung telur wanita boleh menyebabkan perut menjadi besar seperti wanita sarat mengandung dalam tempoh tidak sampai satu bulan dan merebak ke organ lain badan seperti usus, paru-paru dan buah pinggang tanpa disedari pesakit.

Pakar Gynaeoncology dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan, Dr. Nor Anita Abdullah berkata, berbeza dengan kanser payudara yang boleh dikesan awal, kanser ovari belum ada kaedah saringan berkesan dan ekonomikal.

Beliau berkata, sel kanser ovari berkembang secara agresif dan pantas. Keadaan itu menyebabkan wanita bukan sahaja boleh kehilangan kedua-dua kilang telur bahkan rahim dan pangkal rahim selalunya terpaksa dibuang menerusi pembedahan.

Jelasnya, kanser ovari tahap pertama dikelaskan sebagai sel kanser masih kekal berada dalam kantung telur namun ia tetap mampu mengembangkan saiz kilang telur yang asalnya bersaiz 2 atau 3 sentimeter sehingga menjadi tumor yang boleh mencapai berat melebihi 20 kilogram (kg).

Katanya, apabila kanser sudah merebak sehingga peringkat tiga atau empat, peratusan pesakit yang boleh hidup sehingga tempoh lima tahun adalah kurang 30 peratus, malah kebanyakan mereka terpaksa menjalani hidup yang tidak berkualiti kerana komplikasi lain seperti sakit belakang yang berpanjangan, mengalami masalah paru-paru dan terpaksa memakai beg najis kesan tumor yang menekan usus.

“Protokol kita adalah untuk membuang semua sel kanser yang kita nampak semasa pembedahan, jika ia dapat dikesan pada bahagian lain maka kita akan buang semua termasuklah juga sebahagian usus dan kelenjar limpa.

“Namun bagi pesakit kanser tahap satu berumur bawah 40 tahun ataupun yang belum berkahwin kami akan cuba selamatkan ovari dan hanya membuang tumor pada bahagian terjejas sahaja serta menasihatkan pesakit menjalani kemoterapi kerana pada usia yang muda dia boleh sembuh malah kemoterapi tidak akan menjejaskan kilang telur yang masih ada sekali gus memberi peluang pesakit hamil,” katanya.

Pil Perancang Kanser Ovari

Penghidap Kanser Ovari – Disangkakan Masalah Kegemukan

Nor Anita berkata, biarpun secara umumnya majoriti pesakit kanser ovari di negara membabitkan wanita berumur 50 hingga 54 tahun namun golongan kanak-kanak dan remaja juga tidak terkecuali.

Jelasnya, beliau sendiri di HRPZ II pernah merawat seorang pesakit berusia semuda 9 tahun dan seorang remaja berusia 19 tahun yang pada peringkat awal hanya disangka mempunyai masalah kegemukan.

“Pesakit remaja ini datang dengan perut buncit seperti orang mengandung dan oleh kerana fizikalnya yang obes pihak keluarga tidak menjangka yang buruk malah membelikannya pil pelangsing.

“Remaja ini disahkan menghidap kanser ovari tahap satu dan dalam masa dua minggu selepas dia dirujuk ke hospital pihak kami telah menjalankan pembedahan dan berjaya membuang tumor seberat 15kg,” katanya.

Nor Anita memberitahu, wanita yang mempunyai keluarga yang pernah menghidap penyakit kanser payudara dan kanser ovari mempunyai risiko tinggi mengidap penyakit ini dan seharusnya membuat pemeriksaan dengan doktor setahun sekali.

Katanya, wanita yang tidak pernah mengandung ataupun mempunyai bilangan anak yang sedikit juga berisiko kerana berbeza dengan wanita yang mempunyai anak, proses ovulasi kilang telur mereka tidak pernah ‘berehat’ dan terus berulang sehingga memungkinkan perubahan ganjil pada perkembangan sel dalam ovari.

Beliau berkata, lebih 50 peratus daripada kes kanser ovari yang dirujuk ke HRPZ II pada tahun lalu terdiri daripada pesakit yang tidak berkahwin, tidak pernah hamil dan beranak kurang dari dua orang.

“Wanita yang ramai anak setiap kali dia mengandung ovarinya tidak ‘bergerak’, dia dapat rehat panjang dan begitu juga dalam tempoh menyusukan anak. Malah wanita yang melahirkan anak kali pertama mengurangkan 45 peratus risiko menghidap kanser ovari,” katanya.

Kanser Rahim

Ikat Peranakan Boleh Mengurangkan Risiko Menghidap Kanser Ovari

Beliau berkata, wanita yang mengikat saluran peranakan juga boleh mengurangkan risiko daripada menghidap kanser ovari dan ini termasuklah juga bagi wanita yang mengambil pil perancang keluarga.

Bagaimanapun, Nor Anita berkata, teori pencegahan kanser ovari menggunakan pil perancang keluarga tidak disenangi oleh pakar perubatan yang merawat kanser payudara kerana pengambilan pil itu meningkatkan risiko kanser nombor satu wanita.

Beliau berkata, antara langkah pencegahan lain yang boleh dilakukan adalah menjauhi tabiat merokok serta menjaga pemakanan seperti mengelak pengambilan daging dan lemak yang tinggi.

Obesiti adalah faktor kepada pelbagai jenis kanser termasuklah kanser ovari, malah ia dalam masa sama ‘menyembunyikan’ keadaan sebenar abdomen pesakit yang kembung akibat tumor kanser, katanya.

Sumber Rujukan:

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm