Tag Archives: kanser lelaki

Lelaki Juga Berpotensi Untuk Menghidap Kanser Payudara

LELAKI kena kanser payudara?

Soalan seperti ini tidak mustahil akan terpacul kala dikaitkan dengan kalangan lelaki, lantaran ia sangat jarang didengari berbanding lazimnya berlaku di kalangan wanita. Ini mungkin disebabkan perbezaan fizikal di antara golongan Adam dan Hawa ini sangat ketara terutama pada saiz payudara. Pun begitu, jangan pandang remeh kerana walaupun nisbah peratusannya agak kecil iaitu kira-kira 1:100, namun tidak mustahil boleh menyerang golongan lelaki. Malah, peratusan ini kini semakin meningkat di Amerika Syarikat.

Kanser Payudara Lelaki

Pandangan Pakar Berkaitan Kanser Payudara Lelaki

Menurut Pakar Bedah Gastroentestinal & Laparoskopi Hospital Pakar DEMC Shah Alam, Dr. Lukman Mohd Rashid, kebanyakan kes kanser payudara lelaki menyerang pesakit sekitar usia lebih lanjut sekitar 50-60 tahun.

“Dari segi perbezaan, sebenarnya tidak banyak perbezaan ketara kerana dari segi simptomnya adalah sama. Berdasarkan kes yang ditemui, peratusannya juga sangat kecil iaitu kira-kira 1:100. Ini kerana lelaki mempunyai hormon testeron berbanding estrogen pada wanita. Walau bagaimanapun, ia tidak mustahil untuk lelaki juga berisiko terutama apabila terdapat simptom berkaitan kanser payudara ini.

“Berbanding wanita juga, lelaki lebih mudah rasa simptom yang terdapat pada badan mereka kerana perbezaan saiz payudara. Jika ada di antara ahli keluarga yang pernah menghidapi kanser, risikonya adalah lebih besar untuk lelaki mendapat penyakit ini. Kebanyakan lelaki pada masa kini yang membuat suntikan hormon juga berpotensi untuk terkena kanser payu dara,” jelasnya.

Faktor-faktor risiko kanser payudara lelaki

Antara faktor-faktor yang meningkatkan faktor kanser payudara lelaki termasuk:

•         Umur lanjut iaitu lelaki dalam lingkunan umur 60-70 tahun.

•     Terkena sinaran radiasi. Jika anda telah menerima rawatan radiasi terutama pada bahagian dada seperti yang digunakan untuk merawat kanser di bahagian dadah, anda lebih cenderung untuk menghidap kanser payudara di kemudian hari.

•         Pendedahan kepada estrogen misalnya menerusi pengambilan ubat-ubatan yang berkaitan dengan estrogen seperti yang digunakan sebagai sebahagian daripada prosedur seks perubatan. (Dadah estrogen juga boleh digunakan dalam terapi hormon untuk kanser prostat).

•         Sejarah dalam keluarga di mana mungkin salah seorang ahli keluarga pernah menghidap kanser.

•         Sindrom genetik atau juga dikenali Kline felter yang berlaku apabila lelaki dilahirkan dengan lebih daripada satu salinan kromosom X. Sindrom ini menyebabkan perkembangan tidak normal buah zakar. Hasilnya, lelaki dengan sindrom ini menghasilkan tahap hormon lelaki (androgen).

•         Jika anda mempunyai penyakit hati seperti sirosis hati, hormon lelaki anda boleh dikurangkan sementara hormon wanita pula akan menjadi lebih.

•         Obes mungkin menjadi salah satu faktor risiko di kalangan lelaki kerana ia meningkat bilangan sel-sel lemak dalam badan. Sel-sel lemak akan menukarkan androgen kepada estrogen yang boleh menyebabkan peningkatan jumlah estrogen dalam badan.

Apakah simptom kanser payudara lelaki?

Memandangkan ia penyakit yang bukan lazim di kalangan lelaki, adalah dinasihatkan kepada mereka yang mempunyai simptom-simptom berikut segera berjumpa pakar untuk mengetahui lebih lanjut lagi berkaitan.

“Memandangkan lelaki mempunyai buah dada yang lebih kecil daripada wanita, oleh itu ia lebih mudah untuk membuat pemeriksaan sendiri di rumah. Sekiranya terdapat simptom-simptom seperti ketulan di bawah puting atau kelenjar (benjolan di bawah ketiak), lekuk-lekuk pada bahagian payudara, puting berdarah, segeralah berjumpa dengan pakar,” ujarnya lagi

Berikut adalah ciri-ciri kanser yang boleh anda kesan sendiri atau telitikan:-

Payudara

Payudara anda akan mengalami perubahan saiz dan rupa. Sekiranya anda dapat melihat seperti lekuk pada bahagian payudara selain mungkin melibatkan penemuan ketulan atau berlakunya penebalan kulit payudara.

Puting berdarah

Puting berdarah. Walaupun ada kalanya terdapat cecair keluar dari puting, ia adalah perkara biasa. Namun, keadaan ini boleh jadi membimbangkan sekiranya puting berdarah.

Puting tertarik ke dalam

Ia mungkin satu keadaan normal dan semula jadi pada sesetengah wanita. Walau bagaimanapun sekiranya keadaan ini baru berlaku dan terjadi tanpa sebab, anda harus berjumpa dengan doktor. Ketulan atau penebalan kulit dan diikuti dengan kehadiran cecair keluar daripada puting juga harus dipandang serius. Segeralah berjumpa doktor.

Ruam

Ruam di bahagian puting dan persekitaran kulitnya juga boleh menjadi simptom serangan kanser payudara. Penyakit Paget ada kaitan dengan serangan kanser payudara. Ruam di puting atau kawasan persekitaran puting boleh terjadi akibat daripada ekzema.

Lengan

Terdapat ketulan atau bengkak pada sekitar ketiak.

Rawatan Kanser Payudara Lelaki

Sekiranya anda telah disahkan menghidap kanser payudara, segeralah menjalani rawatan kerana harapan masih ada untuk anda menyelamatkan nyawa. Antaranya adalah melalui pembedahan dan seterusnya rawatan lanjut seperti kimoterapi dan radioterapi.

“Walau bagaimanapun, apa yang penting adalah menjalani gaya hidup sihat. Jangan mengambil estrogen, minum arak, merokok dan sebagainya yang berbahaya kepada kesihatan kerana ia mungkin salah satu penyumbang untuk anda berisiko menghidap kanser payudara,” nasihat Dr. Luqman.

Sumber Rujukan :

http://www.sinarharian.com.my/famili/kanser-payudara-lelaki-juga-berpotensi-1.99123

Kanser Prostat Tidak Kenal Usia

Statistik Kanser Prostat Meningkat Setiap Tahun

Angka berkenaan penghidap kanser prostat tidak mustahil akan terus meningkat jika kaum lelaki masih tiada kesedaran terhadap penyakit paling ditakuti itu. Ramai yang tahu mengenainya namun ada juga yang ‘buat-buat tidak tahu’.

Perunding Klinikal Onkologi Pusat Perubatan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Lam Kai Seng berkata, kanser prostat penyakit yang semakin meningkat dalam persekitaran tempatan disebabkan peningkatan dalam jangka hayat penduduk tempatan dan kemewahan yang semakin meningkat dalam gaya hidup dan diet yang mirip kepada penduduk barat.

Selain itu, perspektif kebanyakan lelaki yang tunggu sakit baru berjumpa doktor juga antara yang menyumbang ke arah meningkatnya bilangan pesakit kanser prostat di negara ini.

“Ramai masih mengambil ringan mengenainya kerana berpendapat, jika sakit baru berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Tidak kurang juga yang menganggap ia hanya menyerang lelaki berusia.

“Sebenarnya, andaian itu salah kerana kanser prostat menyerang lelaki tanpa mengira usia. Tidak kurang juga ada yang tunggu ‘rasa sakit’ baru berjumpa doktor, sedangkan pemeriksaan awal mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Bagaimana Kanser Prostat Merebak

Menurutnya, kanser prostat merebak melalui empat tahap. Ia dikenal pasti di segi saiz tumor, sama ada nod limfa dijangkiti atau tumor berkenaan merebak ke bahagian lain.

“Tahap pertama kanser adalah kecil dan terletak di bahagian dalam kelenjar prostat dan tiada gejala apabila pemeriksaan rektal dijalankan.

Pada tahap kedua, kanser masih dalam kelenjar prostat tetapi rasa bengkak boleh dirasai apabila pemeriksaan rektal dijalankan.

“Seterusnya pada tahap ketiga, kanser pecah menembusi selaput prostat dan kemungkinan besar merebak ke pundi seminal dan pada tahap keempat, ia merebak ke pelvis (tulang pinggul), nod limfa atau bahagian lain seperti tulang, hati atau paru-paru,” katanya.

Sementara itu, Perunding Urologi, Datuk Dr Selvalingam Sothilingam berkata, setiap lelaki berisiko dijangkiti kanser prostat. Meskipun negara Asia mempunyai bilangan lebih rendah berbanding Eropah, tidak bermakna golongan lelaki di negara ini boleh berpeluk tubuh.

“Sesiapa saja boleh menghidap penyakit ini. Paling penting, perlu sentiasa menjaga kesihatan dan melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh,” katanya.

Apakah Simptom kanser Prostat Ini?

  • Kerap buang air kecil
  • Aliran kencing lemah
  • Mati pucuk
  • Terdapat darah di dalam air kencing
  • Sakit sewaktu buang air kecil
  • Sukar mengawal rasa buang air kecil
  • Sering berasa sakit di pelvis, saraf tunjang, pinggang dan tulang dada.

Faktor risiko Kanser Prostat?

  • Sejarah keluarga
  • Pemakanan
  • Peningkatan usia
  • Pendedahan kepada bahan tertentu seperti kadmium, getah dan logam.

Penduduk Amerika Syarikat dan Eropah berisiko lebih tinggi terhadap kanser ini berbanding Asia.

Rawatan Kanser Prostat

Pembedahan dikenali prostatektomi yang biasa dijalankan bagi membuang bahan tersumbat pada uretra. Radioterapi bagi memusnahkan sel kanser pada peringkat awal kanser prostat. Kesan rawatan ini, pesakit mungkin mengalami mati pucuk, gangguan pembuangan air kecil, dan saluran uretra menjadi sempit.

Sumber Rujukan :

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kanserprostattakkenalusia/MA/Article/article_print