Tag Archives: barah payudara

Perangi Kanser Payudara

Kanser Payudara Pembunuh Wanita

Kanser payudara terus menjadi kanser pembunuh wanita nombor satu negara.

Pendaftar Kanser Kebangsaaan melaporkan, seorang daripada 19 wanita di negara ini berhadapan penyakit berbahaya itu yang dikenali sebagai pembunuh senyap apabila lewat dikesan.

Umum mengetahui barah payudara boleh dirawat jika dapat dikesan pada peringkat awal. Namun adakah ia cukup dengan menekankan kepada umum mengenai pengesanan awal? Bagaimana cara terbaik untuk memaksimumkan kesedaran menerusi media.

Kempen Berkaitan Kanser Payudara

Bagi memastikan wanita sentiasa berwaspada terhadap barah itu dan perkara perlu dilakukan, syarikat pembuat pakaian dalam wanita, Wacoal Malaysia (Wacoal) dengan kerjasama New Straits Times (NST) sekali lagi melancarkan Kempen Pink Ribbon 2015 di Balai Berita, Kuala Lumpur pada 11 Oktober ini.

Sebagai pengeluar jenama pakaian dalam antarabangsa, Wacoal akan memberi kesedaran memerangi kanser payudara dan sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat.

Kempen Kanser Payudara

Kempen dilaksanakan sejak 2003 itu bertujuan memberi kesedaran mengenai bahaya penyakit itu yang menjadi pembunuh nombor satu di seluruh dunia.

Kali ini, 600 peserta terbabit dalam kayuhan basikal dan bersedia memecahkan rekod kayuhan sempena kempen berkenaan tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Wacoal Malaysia Takashi Watanabe berkata, sejak Wacoal ditubuhkan pada 1949 di Jepun, ia masih memegang prinsip asas syarikat terbabit bagi membantu wanita meningkatkan kecantikan.

Menurutnya, perjuangan menentang barah payudara selari dengan Kempen Reben Merah Jambu yang sangat dekat dengan jenama berkenaan dan pihaknya tidak ketinggalan memberi sokongan menjayakan misi mengurangkan peningkatan jumlah pesakit barah.

“Selain menjadi perintis menghasilkan pakaian dalam berkualiti dan menyerlahkan tubuh wanita dengan selesa, Wacoal Jepun serta anak syarikatnya membabitkan diri dalam pelbagai kempen.

“Kerjasama strategik antara NST dengan Wacoal sangat dihargai kerana ia mampu menyebarkan kesedaran dengan lebih meluas dan tindakan dapat dilakukan dengan pantas sebelum dapat dikesan. Mencegah lebih baik daripada merawat,” katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan pada hari terbabit antaranya pendedahan mengenai cara pemeriksaan dan mengukur payudara, klinik bergerak Majlis Kanser Nasional (MAKNA) untuk ujian mamogram, pemilihan pakaian dalam yang sesuai kepada pesakit selepas pembedahan membuang payudara.

Pada masa sama, Kempen Pink Ribbon Fitting Wacoal diadakan sepanjang bulan ini bagi menyemarakkan kesedaran bahaya kanser payudara di seluruh dunia.

Sempena meraikan kempen selama sebulan itu, diadakan percubaan istimewa tanpa pembelian untuk menggalakkan wanita mencuba coli dengan penasihat kecantikan Wacoal yang berpengalaman di seluruh cawangan dan butik seluruh negara.

Setiap coli yang dicuba akan menyumbang kepada ikrar Wacoal untuk MAKNA bagi membantu membiayai mamografi untuk wanita di kawasan luar bandar.

RATU Dunia Malaysia, Brynn Lovett turut beri sokongan dalam Kempen Perangi Kanser Payudara

Kempen itu juga bagi menggalakkan wanita memakai coli yang sesuai selain mendapat pemahaman jelas mengenai pemeriksaan sendiri payudara (BSE) oleh penasihat kecantikan terlatih Wacoal.

Pemeriksaan Sendiri Payudara

1. Lihat perubahan sekeliling fizikal payudara di hadapan cermin dan sentuh bahagian yang perlu dengan tangan.

2. Baring dan rasa perubahan dengan tangan. Letakkan bantal di belakang badan. Rasa perubahan di sekeliling payudara dan puting sama ada berlaku penebalan atau perubahan warna.

3. Picit puting secara perlahan sama ada berdarah dan sebagainya.

4. Lakukan perkara sama

di payudara sebelah.

5. Lakukan sekali sebulan selepas 7 hingga 10 hari selepas datang bulan.

6. Jika terdapat perubahan, jumpa doktor segera.

.

Sumber Rujukan: http://www.hmetro.com.my/node/81796 | Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 9:27 AM