Rawatan Kanser Tanpa Bedah

Cyberknife – Rawatan Untuk Kanser

Apabila memperkatakan mengenai kanser, ramai membayangkan rawatan menyakitkan serta kematian pada pengakhirannya. Ini kerana kebanyakan kanser hanya mampu dikesan pada tahap empat disebabkan pesakit gagal membuat pemeriksaan awal serta ketakutan menerima kenyataan mengenai penyakit yang akan diberitahu kelak.

Namun tatkala mendengar penerangan daripada Perunding Klinikal Onkologi Hospital Beacon, Dr Tho Lye Mun mengenai rawatan terkini yang mampu memberikan sinar harapan kepada pesakit kanser, ia sememangnya amat dinanti-nantikan.

Hospital Beacon yang beroperasi sebagai pusat rawatan kanser, satu-satunya institusi perubatan yang menyediakan kemudahan Cyberknife di rantau Asia Pasifik sejak 2005.

Menerusi rawatan ini, sel barah boleh dimatikan dalam tempoh tertentu. Ia dilakukan tanpa pembedahan tanpa sebarang pemotongan, tidak sakit, tidak luka, dan tidak memerlukan bius.

“Pesakit hanya berbaring santai di atas katil antara dua hingga tiga jam. Mesin CyberKnife seakan-akan robot pembedahan berkomputer yang dikawal secara automatik dengan menggunakan sistem pemanduan imej akan melakukan kerjanya. Menggunakan sinaran radiasi yang ditujukan pada sasaran, iaitu kurang daripada satu milimeter untuk mematikan sel ketumbuhan.

“Ia sangat tepat kerana sinaran radiasi hanya memberi tumpuan pada bahagian sel kanser manakala tisu sihat di sekitar organ tidak terjejas. Pesakit yang menghidap kanser atau ketumbuhan boleh pulih sepenuhnya tanpa melalui proses pembedahan yang menyakitkan,” katanya.

Menurut Dr Tho, semasa rawatan dilakukan, pesakit berada dalam keadaan sedar dan kebiasaannya rawatan mengambil masa antara 30 hingga 60 minit, bergantung kepada kedudukan sel yang perlu dibuang.

“Untuk itu pesakit tidak dibenarkan bergerak bagi memastikan sinar radiasi tepat kepada sasarannya. Sistem pemanduan imej akan mengambil imej sinar-X dari semasa ke semasa dan membandingkannya dengan data daripada imbasan CT untuk memastikan radiasi disasarkan dengan tepat ke arah tumor.

“Berbeza dengan pembedahan biasa yang mengambil masa dua atau tiga hari untuk pesakit dibenarkan pulang, dengan Cyber Knife ,pesakit biasanya dibenarkan meninggalkan pusat rawatan sejurus rawatan selesai dan boleh terus memulakan rutin harian mereka seperti biasa,” katanya.

Tambahnya, kadar pemulihan menggunakan Cyber Knife sangat tinggi berbanding prosedur pembedahan biasa yang lazimnya mengambil masa berjam-jam dan memerlukan rawatan susulan.

Dengan kadar ketepatan mencapai satu milimeter, ia juga boleh digunakan untuk merawat tumor pada organ lain badan seperti spina, prostat, paru-paru, hati dan pankreas.

Katanya, keputusan keberkesanan rawatan tidak boleh dilihat serta-merta kerana objektif rawatan dijalankan adalah untuk mengawal pertumbuhan tumor. Kesannya boleh dilihat seawal beberapa minggu sehinggalah kepada beberapa bulan bergantung kepada keadaan semula jadi tumor sama ada terus musnah atau mengecil.

Terapi sasaran Tumor Kanser

Berdasarkan pengalaman Dr Tho yang pernah merawat pesakit tumor otak yang mempunyai 50 tumor pada bahagian kepalanya, terapi sasaran diberikan kepada pesakit yang sudah kronik. Jika dilihat pada usia 60 tahun, pada tahap ini pesakit tentu sekali sukar diselamatkan kerana dia tidak dapat bergerak dan bercakap.

“Selepas dibuat diagnosis, saya memilih melakukan terapi sasaran kerana lebih sesuai dengan tahap dan jenis kanser yang dialaminya. Selepas tiga bulan melakukan terapi sasaran, tumor hampir tiada dan 50 peratus sel kanser musnah.

“Selepas enam bulan sel kanser 100 peratus tiada dan pesakit dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Menerusi kaedah terkini dalam rawatan penyakit kanser, ia memberikan harapan baru kepada mereka untuk terus melalui hari-hari bahagia bersama keluarga,” katanya.

Imbasan PET-CT Untuk Kanser

Jika dulu imbasan untuk penyakit kanser dilakukan menerusi imbasan CT, tetapi kini kaedah terkini digunakan untuk mengenal pasti tahap serta penyakit yang dihidapi pesakit dengan lebih jelas dan jitu. Positron Emission Tomography (PET) ialah prosedur imbasan yang akan menunjukkan fungsi kimia daripada organ badan sama ada normal atau tidak.

Untuk itu, peti imbasan PET-CT adalah kombinasi antara Positron Emission Tomography (PET) dan sinaran Computed Tomography (CT) yang terbukti sangat sensitif untuk mengesan penyakit kanser pada peringkat awal. Malah mesin imbasan ini turut mengesan kelainan tanpa adanya perubahan struktur. Tumor kecil dapat ditemui dengan lebih jelas. Ini membolehkan rawatan awal diberikan mengikut tahap penyakit. Bukan itu saja, kelebihan imbasan PET-CT turut mengesan sel kanser yang merebak ke bahagian organ badan yang lain.

Immunotheraphy atau Terapi Imunisasi Untuk Kanser

Secara semula jadi kanser menyebabkan sistem imunisasi badan berkurangan dan menyebabkan pesakit mudah mendapat penyakit lain.

Menerusi terapi imunisasi, pesakit dirangsang dengan cara meningkatkan sistem imunisasi badan pesakit menerusi ubat khas yang diberikan kepada mereka. Ubat ini dapat mengenali sel kanser dan menghalangnya daripada terus merebak. Menerusi kaedah rawatan ini, ia memberikan harapan baru kepada pesakit untuk pulih sepenuhnya.

Walaupun kini terdapat pelbagai rawatan yang boleh dilakukan, namun memahami pelbagai jenis rawatan ini boleh memberi tekanan yang berat kepada pesakit dan keluarga. Apa yang penting, kesedaran kepada kaedah rawatan yang lebih mudah dan cepat agar pesakit dapat dirawat dalam keadaan yang lebih selesa, sekali gus mengurangkan bebanan yang ditanggung mereka.

“Walaupun semua kaedah rawatan termasuk CyberKnife, terapi sasaran dan terapi imunisasi boleh dilaksanakan pada peringkat kritikal, namun pesakit digalakkan untuk melakukan pengesanan awal dan mendapatkan rawatan segera kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Apa pun, pilihan rawatan bergantung kepada pesakit dan perlulah mendapat kebenaran pakar perubatan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 10:39 AM

sumber Rujukan : http://www.hmetro.com.my/node/95110